KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan lebih 1,500 kompaun atas kesalahan merokok di tempat awam sekitar ibu negara hasil operasi bersepadu dengan Kementerian Kesihatan pada Januari dan Februari lepas.
Pengarah Eksekutif (Pengurusan) DBKL, Khairul Anuar Mhd Juri berkata, kesalahan di bawah Peraturan 11 (1), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 itu melibatkan kawasan seperti taman awam, restoran, bangunan kerajaan dan laluan pejalan kaki berbumbung.
Iklan
Iklan
"Individu yang melakukan kesalahan ini akan dikompaun sebanyak RM250 serta-merta dan sekiranya tidak dibayar, mereka akan dikenakan tindakan susulan termasuk tindakan mahkamah," katanya kepada pemberita pada pelancaran Kempen Kuala Lumpur Bebas Asap Rokok (KLBAR) X MySchoolBus @Wilayah di sini, pada Isnin.
Khairul Anuar berkata, kempen tersebut bertujuan memperluas Kempen KLBAR yang akan memberi impak kepada 11,000 murid dari Perumahan Awam (PA), Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Swasta Kos Rendah DBKL.
Katanya program itu juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi mempromosi gaya hidup sihat sekali gus mengurangkan risiko penyakit seperti kanser, masalah paru-paru dan pelbagai penyakit kronik lain. - Bernama
Artikel Berkaitan