KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mendedahkan, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pernah menzahirkan rasa murka ekoran tidak merujuk baginda dalam keputusan berhubung isu tuntutan Batu Puteh (Pedra Branca).
Azalina berkata, baginda menyatakan murka dengan keputusan yang telah dilakukan kerajaan terdahulu sehingga pulau berkenaan menjadi milik Singapura ketika majlis menghadap bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada Januari lalu.
"Keputusan berhubung Batu Puteh satu yang unik kerana Malaysia terlepas peluang untuk memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
"Dalam apa juga situasi, alasan atau nasihat, hak merayu tidak sepatutnya dilepaskan," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Dalam pada itu beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang menjelaskan, isu Batu Puteh sepatutnya dirujuk kepada Sultan Johor ekoran membabitkan kedaulatan tanah jajahan negeri berkenaan sebelum sebarang keputusan dilakukan.
"Walaupun pulau itu kecil, tetapi lakaran kawasan (melibatkan) perairan kita (Malaysia). Jika dirujuk Akta Laut, daratan beberapa kilometer di bawah laut itu milik kerajaan negeri (Johor), namun dalam kes ini ia tidak dirujuk oleh Kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri mahupun Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong," katanya.
Sementara itu Azalina berkata, Sultan Johor turut memuji usaha Malaysia untuk mendapat persetujuan mengadakan rundingan terperinci terhadap langkah Singapura menambak kawasan sekitar pulau itu menerusi pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong pada Januari lalu.
"Kita sudah terlepas peluang (membuat rayuan), namun apa yang menjadi keutamaan Malaysia supaya Singapura tidak melakukan pembangunan di pulau itu," jelasnya.
Sebelum ini media melaporkan, kerajaan akan membentangkan Kertas Putih mengenai isu kedaulatan Batu Puteh pada sesi Dewan Rakyat kali ini.