KEPALA BATAS - Dua remaja ditahan selepas disyaki terlibat 15 kes curi motosikal di dua daerah iaitu Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah, awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek berusia 18 dan 19 tahun itu ditahan pada jam 3.30 petang, 8 April lalu.
Menurutnya, kedua-dua suspek yang baru tamat persekolahan itu mula aktif sejak setahun lalu dengan menyasarkan motosikal jenis Honda EX5 di sekitar dua daerah di sini.
"Modus operandi mereka adalah dengan meleraikan komponen motosikal yang dicuri dan kemudiannya dijual kepada pembeli. Rangka motosikal yang telah dileraikan akan dibuang ke dalam sungai atau tali air untuk menghapuskan bukti.
"Komponen motosikal itu akan dijual dengan harga lebih murah kepada pembeli yang berminat. Suspek mengaku melakukan kegiatan itu dan mensasarkan motosikal jenis Honda EX5 adalah kerana jenis motosikal itu mendapat permintaan tinggi di kalangan pembeli," katanya pada sidang media tadi.
Tambahnya, kedua-dua suspek tidak bekerja dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal.
Dalam perkembangan lain, seorang lelaki berusia 24 tahun ditahan 4.30 petang semalam kerana memiliki dadah jenis syabu dan heroin.
Noorzainy berkata, suspek ditahan di tepi Jalan Ujung Batu, Butterworth selepas polis menjumpai 17 gram heroin dan 5.1 gram syabu pada suspek.
"Hasil siasatan mendapati dadah yang dirampas adalah untuk kegunaan sendiri. Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM1,300. Ujian saringan air kencingnya negatif.
"Suspek akan ditahan reman tujuh hari bermula sehingga 29 April lalu. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A(1) akta sama," katanya.