Bayaran dividen kepada kerajaan ikut kemampuan - Petronas

Iklan
Petronas mengumumkan bahawa pembayaran dividen kepada kerajaan akan diputuskan berdasarkan kemampuannya. Gambar kanan : (Tengku Muhammad Taufik)

KUALA LUMPUR - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengumumkan bahawa pembayaran dividen kepada kerajaan akan diputuskan berdasarkan kemampuannya.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, Petronas diminta membayar antara RM35 bilion hingga RM40 bilion dalam bentuk dividen tahun ini tetapi jumlah itu akan dimuktamadkan selepas usaha wajar kumpulan itu yang akan mengambil kira obligasi hutang dan pelaburannya.

Iklan
Iklan

"Sama ada jumlahnya RM35 bilion atau RM40 bilion, ia tertakluk kepada peraturan biasa bahawa kami akan membuat pembayaran dividen bergantung kepada keperluan tadbir urus kami," katanya kepada pemberita selepas pengumuman prestasi kewangan penuh tahun Petronas berakhir 31 Disember 2022.

Petronas membayar sejumlah RM50 bilion dividen kepada kerajaan tahun lepas.

Iklan

Tengku Muhammad Taufik ketika mengulas mengenai prospek harga minyak berkata, Petronas menjangkakan adanya pembetulan harga pada tahun ini dan laluan pemulihan mungkin berada dalam keadaan yang sukar iaitu antara AS$70 dan AS$80 setong dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Tahun ini, saya rasa kita berada di tahap bawah berkenaan. Bagi tujuan perancangan, kami masih menguji huluan (langkah) kami pada AS$40 setong untuk memastikan keteguhannya," kata beliau lagi.

Iklan

Tengku Muhammad Taufik turut menggariskan perbelanjaan modal syarikat sebanyak RM300 bilion untuk tempoh lima tahun akan datang sebagai belanja kepada usaha penyahkarbonan dan peralihan tenaga.

Beliau berkata, Petronas mempunyai jumlah pinjaman sebanyak RM140 bilion tetapi kekal dalam kedudukan tunai bersih yang mencukupi bagi menjana aliran tunai yang kukuh daripada aktiviti operasi (CFFO).

CFFO Petronas mencecah paras RM135.3 bilion menjelang tahun kewangan 2022, menokok berbanding tahun kewangan sebelumnya sebanyak RM78.5 bilion di tengah-tengah peningkatan pelaburan untuk pertumbuhan, pembayaran dividen yang lebih besar dan obligasi khidmat hutang. - Bernama