Road to Gold mampu 'tambah baik' misi emas sulung Olimpik

Iklan
Azizulhasni ketika lintas langsung sidang akhbar pembentukan Pasukan Projek Road to Gold yang diumumkan secara rasmi oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Ahad.

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menyambut baik program Road to Gold - projek baharu yang diperkenal Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam misi meraih pingat emas sulung Sukan Olimpik.

Malah, Azizulhasni mengakui program itu mampu mengisi kelompongan membabitkan keperluan atlet negara dalam usaha meraih emas pertama dalam temasya Olimpik Paris 2024 dan Los Angeles 2028.

Iklan
Iklan

"Saya menyahut baik inisiatif baharu program Road To Gold yang dilancarkan Menteri Belia dan Sukan, YB (Yang Berhormat) Hannah Yeoh.

"Apa yang saya sedia maklum, program ini mempunyai mekanisma yang sedikit berlainan dengan program-program sebelum ini yang mana jawatankuasa terpilih mempunyai kredibiliti, kepakaran, pengalaman dan pengetahuan luas dalam sukan prestasi tinggi.

Iklan

"Saya telah terbabit dalam pelbagai program latihan dan saya tak kata program yang dirangka sebelum ini tidak bagus. Tetapi jika kita masih membawa pendekatan lama, maka ia akan menghasilkan hasil yang sama.

Saya berharap sistem baharu yang diperkenalkan ini dapat membawa impak positif kepada semua yang terlibat dan dapat membantu atlet dan jurulatih kita untuk beraksi dengan cemerlang di Sukan Olimpik dan membawa pulang pingat emas untuk negara," katanya.

Iklan

Pada masa sama, Azizulhasni berharap program sedemikian mampu memotivasikan setiap atlet dalam menghadirkan kilauan emas pertama buat kontinjen Malaysia di pentas Sukan Olimpik.

"Saya dah berusia dan Paris 2024 nanti Sukan Olimpik terakhir saya. Kalau boleh saya nak bawa pulang pingat emas buat kontinjen Malaysia. Tetap saya juga menaruh harapan kepada atlet lain.

"Saya harap dengan adanya program ini dapat menyuntik semangat baharu kepada seluruh atlet dan membuka peluang merealisasikan impian terutama membutirkan pingat emas Sukan Olimpik," ujarnya.


Stuart (dua dari kiri) menjawab soalan pemberita dalam sidang akhbar di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Ahad.


Belum masanya umum senarai atlet, peruntukan projek Road to Gold

Jika tiada sebarang masalah, Pasukan Projek Road to Gold dijangka membentangkan senarai nama atlet dan jumlah peruntukan bagi 'projek baharu' itu dalam tempoh tiga minggu lagi.

Penyelaras Projek Road to Gold, Stuart Ramalingam berkata, pihaknya memerlukan tiga minggu untuk meneliti senarai atlet termasuk aspek keperluan dan bantuan yang akan disalurkan nanti.

"Kami akan mengadakan beberapa perjumpaan bersama pihak berkaitan seperti Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) bagi mendapatkan gambaran jelas berkaitan gerak kerja yang dilakukan.

"Mesyuarat pertama yang bakal diadakan nanti adalah membabitkan perbincangan dalaman bersama MSN, ISN serta pihak berkaitan. Kita juga akan senarai pendek atlet yang berpotensi membawa pulang pingat untuk negara dan akan dibentang pada mesyuarat itu.

"Penyelarasan bajet dan keperluan sokongan turut akan dinyatakan, namun tidak boleh diumumkan sekarang kerana memerlukan tempoh dua atau tiga minggu,” katanya.

Pada masa sama, Stuart berkata, peruntukan keseluruhan projek itu masih belum dapat diumumkan dalam masa terdekat memandangkan pihaknya tidak mempunyai maklumat terperinci membabitkan keperluan dan senarai atlet Road to Gold.

"Kita akan mengumumkan peruntukan untuk projek ini sebaik mendapat maklumat terperinci. Sekarang kita mahu meneliti senarai atlet yang berpotensi memenangi emas (Olimpik) untuk negara,” jelasnya.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengumumkan pembentukan Pasukan Projek Road to Gold bagi menyelaras usaha meraih pingat emas Olimpik di Paris 2024 dan Los Angeles 2028.

Jawatankuasa Road to Gold itu yang terdiri daripada bekas atlet dan beberapa individu berwibawa dalam arena sukan, akan memberi tumpuan kepada program persediaan meliputi latihan harian, penyediaan khidmat jurulatih, kakitangan sokongan, perkhidmatan sains sukan dan perubatan serta program bina diri.

Stuart yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dilantik sebagai Penyelaras Projek Road to Gold, manakala CEO Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai dipilih sebagai pembantunya.