TIDAK dinafikan, setiap pekerjaan di dunia ini mempunyai risiko. Sama ada melibatkan isu keselamatan fizikal atau mental, setiap mereka yang bekerja tidak akan dapat lari jika ia berlaku.
Tidak terkecuali kepada penggiat seni, termasuk pelakon yang turut terdedah dengan bahaya ketika di set penggambaran.
Kemalangan di set penggambaran bukanlah perkara baharu. Sebelum ini pun kita kerap mendengar insiden tidak diingini itu berlaku kepada artis atau tenaga belakang tabir ketika menjalani sesuatu penggambaran sama ada drama atau filem.
Tidak hanya melibatkan babak aksi, malah boleh sahaja berlaku dalam mana-mana sahaja produksi.
Di Malaysia, sejak akhir-akhir ini berlaku beberapa kemalangan di set penggambaran sehingga mengakibatkan kecederaan kepada pelakon.
Antaranya, pelakon Wafariena yang mengalami kecederaan dalaman melibatkan perut dan koyak tisu punggung ketika melakukan aksi jatuh berulang kali dalam sebuah penggambaran di Lenggong, Perak pada Oktober lalu.
Akibatnya, pelakon itu dimasukkan ke hospital selama lima hari, selain berehat panjang untuk proses pemulihan.
Pelakon Hairul Azreen juga baru-baru ini melalui hal sama apabila cedera di set penggambaran ketika menjayakan salah satu babak aksi dalam filem The Original Gangster pada Februari lalu.
Pelakon filem Paskal itu terpaksa menjalani pembedahan apabila ligamen lutut kirinya terputus.
Terbaharu, pelakon Fasha Sandha cedera pada mata kirinya akibat jatuh dan terhentak di bucu katil yang tajam ketika menjayakan babak tegang dalam telefilem Anak Tuan arahan Along Kamaludin.
Akibat insiden itu, tulang mata sebelah kirinya patah, selain bebola mata bengkak dan terpaksa dirawat di hospital selama seminggu.
Difahamkan, pelakon berusia 39 tahun itu juga perlu menjalani pembedahan tidak lama lagi.
Menerusi beberapa siri kejadian tersebut (hanya menyebut beberapa contoh), timbul satu persoalan, bagaimana nasib penggiat seni terbabit sekiranya insiden seperti ini berlaku.
Apatah lagi jika kecederaan tersebut serius dan memerlukan rawatan yang khusus melibatkan kos yang tinggi. Dalam tempoh tersebut, mereka juga perlu bercuti panjang sehingga hilang punca pendapatan.
Skim perlindungan diri
Mungkin sudah tiba masanya pihak produksi mengambil langkah lebih proaktif dalam memastikan keselamatan pelakon dan kru yang terlibat termasuk dengan menyediakan skim perlindungan.
Barangkali ada pihak yang memandang remeh soal itu dan menganggap kemalangan hanya kejadian terpencil.
Namun, kesannya juga besar kepada produksi. Bukan sahaja perlu menunda penggambaran, tetapi akan melibatkan pelbagai aspek lain seperti tambahan kos rawatan yang perlu ditanggung. Atau mungkin boleh menyebabkan kehilangan nyawa.
Jadi, jangan ambil ringan daripada apa yang berlaku sebelum ini.
Dalam pada itu, penggiat seni juga perlu mempunyai kesedaran mengambil inisiatif sendiri dengan mendapatkan skim perlindungan diri sebagai persediaan jika berlaku kemalangan atau perkara tidak diingini ketika bekerja.
Skim tersebut pastinya dapat memberi manfaat ketika keadaan memerlukan, sekurang-kurangnya dalam tempoh beberapa bulan sementara kecederaan kembali pulih dan dapat bekerja seperti sedia kala.
Misalnya, Fasha Sandha sendiri mengakui bernasib baik kerana mempunyai skim perlindungannya sendiri yang diambil sejak tahun 2004, sekali gus memberi manfaat kepada dirinya pada ketika keadaan memerlukan.
Kesedaran sama perlu diterapkan pada penggiat seni lain untuk menyediakan skim perlindungan untuk diri sendiri itu tanpa mengharapkan pihak lain kerana pekerjaan mereka sentiasa terdedah kepada risiko.
Dalam aspek lain, pihak produksi perlu memberi perhatian dan tidak mengambil mudah soal keselamatan.
Persediaan rapi wajib dilakukan sebelum babak-babak berisiko dijalankan, selain pelan jangkaan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.
Tindakan pantas dan tepat yang diambil ketika kejadian pastinya dapat mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku di set penggambaran.
Walaupun mungkin produksi mahu memastikan drama atau filem dihasilkan berkualiti, mereka tidak sepatutnya memperjudikan nyawa pelakon atau kru semata-mata untuk menang anugerah.
* Wawann Mohd ialah wartawan hiburan Sinar Harian