'Bantuan persekolahan RM100 ringankan beban kami'

Iklan
Zinorlaili (kanan) bersyukur kerana anaknya menerima bantuan persekolahan sebanyak RM100.

KOTA BHARU - Tiada yang lebih menggembirakan ibu tunggal, Zinorlaili Ismail, 47, apabila berpeluang menerima bantuan persekolahan untuk anaknya.

Zinorlaili yang menanggung keluarga termasuk dengan mengutip kotak memberitahu, bantuan itu dapat mengurangkan bebannya ketika kenaikan harga barang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selepas berpisah dengan suami kira-kira 14 tahun lalu, dia terpaksa bekerja sendiri untuk membiayai lima anak serta ibunya yang berusia 70-an.

"Alhamdulillah, ini rezeki kami. Pemberian RM100 boleh mengurangkan beban saya dalam keadaan banyak barang keperluan harian yang semakin meningkat," katanya ketika ditemui di Pasaraya Mydin di sini pada Isnin.

Iklan

Zinorlaili juga bersyukur kerana dapat terus mencari rezeki menggunakan motosikal roda tiga yang disumbangkan orang ramai.

Rohani

Bagi tukang cuci, Rohani Che Ki, 55, bantuan persekolahan sebanyak RM100 memberi peluang anaknya, Muhammad Amirul Ramli, 15, bertukar pakaian baharu selepas dilantik sebagai pengawas.

Iklan

Katanya, sebelum ini dua lagi anaknya berusia 12 dan 16 tahun hanya memakai pakaian sedia ada walaupun sudah memasuki tahun baharu kerana tidak mampu menyediakan pakaian baharu.

"Pendapatan sebagai tukang cuci dari rumah ke rumah sebanyak RM400 sebulan hanya mampu untuk saya membeli keperluan harian," katanya.

Rohani yang juga ibu tunggal sejak 2012 kerana kematian suami mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450.

Sementara itu, Presiden Gabungan Kelab Kereta Negeri Kelantan (GKNK), Wan Azley Wan Mohamed berkata, seramai 30 pelajar menerima bantuan persekolahan itu.

Katanya, program berkenaan merupakan kerjasama GKNK dan Kelab Santuni Asnaf Kelantan yang diharap dapat memberi keceriaan kepada penerima.