JOHOR BAHRU – [DIKEMAS KINI] Seramai 27 individu dipercayai penagih dadah ditahan dalam operasi JIHAD (Johor Iltizam Hapus Ancaman Dadah) di sini, pada awal pagi Isnin.
Exco Kesihatan dan Perpaduan Negeri Ling Tian Soon berkata, kesemua yang ditahan melibatkan 26 lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 20 hingga 59 tahun.
Menurutnya, 20 individu didapati positif dalam ujian air kencing yang dilaksanakan.
"Operasi JIHAD ini melibatkan 47 anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang dibahagikan kepada tiga kumpulan. Operasi dijalankan menerusi kaedah pemeriksaan dari rumah ke rumah hasil aduan yang diterima daripada orang ramai.
"Serbuan turut dilakukan di ‘sarang’ penagih yang terletak di tepi sungai dan dipenuhi dengan tumbuhan pokok bakau. Difahamkan kawasan berkenaan dikenali sebagai ‘port bakau’ dalam kalangan penagih dadah," katanya.
Ujar beliau, kertas siasatan akan dibuka untuk tindakan lanjut dan mereka yang terlibat akan dituduh bawah Seksyen 31A Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1983; manakala tujuh lagi yang negatif akan dibebaskan kemudian.
Justeru katanya, pihak AADK dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), akan bekerjasama bagi meningkatkan tugas-tugas penguatkuasaan di kesemua hotspot berkenaan.
"Kita juga minta bantuan pihak PBT (pihak berkuasa tempatan) untuk membersihkan kawasan tersebut," katanya.
Kerajaan Johor harap sasaran ‘dadah terkawal’ dicapai menjelang 2025
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Johor berharap agar sasaran ‘dadah terkawal’ menjelang 2025 mampu dicapai berdasarkan kepada usaha-usaha membanteras gejala penyalahgunaan dadah di sekitar negeri.
Menurut Tian Soon, sasaran berkenaan terkandung dalam enam teras penting Agenda Maju Johor sebagaimana yang diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Onn Hafiz Ghazi sebelum ini.
"Negeri Johor dah letak sasaran agenda besar yang dinamakan Agenda Maju Johor, di dalam agenda ini ada enam teras penting dan salah satunya adalah untuk wujudkan jaringan keselamatan sosial yang menjurus untuk jadikan Johor lebih selamat.
"Oleh itu, usaha kita membersihkan port-port (lokasi) penagihan dadah di seluruh negeri adalah bertujuan menjadikan negeri ini lebih bersih dan selamat.
"Kita telah minta pihak AADK Negeri Johor dan PDRM untuk jalankan penguatkuasaan sambil dibantu oleh PBT untuk bersihkan Johor,” katanya pada Isnin.
Sebelum itu, Tian Soon menyertai Operasi JIHAD oleh pihak AADK Johor pada Isnin dengan menjalankan pemeriksaan dari rumah ke rumah selain menyerbu lokasi penagihan dadah di sekitar bandar raya.
Hasilnya, 27 individu dipercayai penagih dadah telah ditahan dan hasil ujian air kencing yang dijalankan, 20 daripadanya didapati positif manakala tujuh lagi negatif.
Sementara itu Tian Soon, pihaknya juga akan menggandakan usaha-usaha penguatkuasaan, pencegahan (prevention) selain usaha penyelenggaraan (maintenance) dalam usaha membanteras kes-kes penyalahgunaan dadah di negeri ini.
Katanya, usaha berkenaan turut melibatkan pemimpin masyarakat di kawasan tersebut agar membentuk interaksi antara pihak berkuasa dan masyarakat.
"Selain itu, kita juga berharap agar pihak AADK dapat melakukan kerja-kerja penguatkuasaan, pemutihan dan pendidikan.
"Ini termasuk dengan program-program melibatkan pelajar-pelajar kita agar pendedahan mengenai penyalahgunaan dadah ini,” katanya.