SHAH ALAM - Taiwan menyalurkan sumbangan derma sebanyak AS$60,000 (RM268,542.72) sebagai bantuan kemanusiaan kepada mangsa banjir di Johor.
Wakil Taiwan di Malaysia, Phoebe Yeh berkata, sumbangan yang diberikan pada Sabtu itu akan memberi manfaat kepada 17 pertubuhan tempatan di lima daerah Johor yang terjejas teruk akibat banjir.
Iklan
Iklan
"Apabila saya mengetahui bahawa Johor telah mengalami hujan lebat dan banjir, saya serta-merta berfikir bahawa Taiwan boleh melakukan sesuatu untuk membantu,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, Yeh mewakili kerajaan dan rakyat Taiwan turut mengucapkan penghargaan terima kasih kepada semua pihak termasuk cawangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Taiwan di Malaysia seperti Tzu Chi dan Fo Guan Shan, yang bekerjasama dengan masyarakat tempatan untuk memberi bantuan kepada mangsa.
"Kami menghargai usaha bersama Ahli Parlimen Labis, Pang Hok Liong; Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qui; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jementah, Ng Kor Sim dan semua wakil masyarakat.
"Pejabat saya akan terus bekerjasama rapat dengan sektor kerajaan dan swasta anda untuk meningkatkan persahabatan antara Malaysia dan Taiwan.
"Semoga kita semua berganding bahu mengharungi kesusahan dan cabaran. Sama-samalah kita berdoa agar hari esok lebih baik,” ujarnya.