Malaysia teliti semua langkah untuk lawan tuntutan kumpulan Sulu

Iklan
Malaysia sedang meneliti semua langkah sedia ada untuk menentang tuntutan kumpulan Sulu dalam usaha memelihara kedaulatan negara.

KUALA LUMPUR - Malaysia sedang meneliti semua langkah sedia ada untuk menentang tuntutan kumpulan Sulu dalam usaha memelihara kedaulatan negara, demikian menurut Sekretariat Khas Sulu.

Sekretariat itu dalam kenyataan memaklumkan, kerajaan juga sedang membuat semakan lanjut untuk menentukan sekiranya mana-mana daripada lapan penuntut kumpulan tersebut mempunyai pertalian, hubungan kekeluargaan atau waris kepada kumpulan pengganas Tentera Diraja Sulu (RSF) yang telah dihukum oleh Mahkamah dalam kes pencerobohan Lahad Datu, Sabah.

Iklan
Iklan

"RSF ini telah diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas oleh Kerajaan Malaysia sejak April 2022,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, tindakan undang-undang diambil oleh penuntut-penuntut sehingga kini terutamanya menerusi timbang tara komersial yang dijalankan adalah tidak wajar dari segi perundangan, malah mencabar kedaulatan negara secara langsung.

Iklan

"Sebarang tindakan diambil oleh penuntut itu melalui timbang tara komersial pada masa kini adalah bersifat mala fide, memandangkan pihak Sulu pada 1939 pernah menghadap ke Mahkamah Tinggi Borneo Utara untuk pertikaian yang terbangkit pada masa itu,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kerajaan Malaysia menegaskan bahawa hak dan tuntutan penuntut itu adalah tidak sah, terbatal dan ditamatkan melalui pelaksanaan hak penentuan nasib sendiri oleh rakyat Sabah melalui perundingan Suruhanjaya Cobbold pada 1962 serta pembentukan Persekutuan Malaysia pada 1963.

Iklan

Selain itu, Perjanjian 1878 yang dijadikan asas untuk timbang tara yang dijalankan di Sepanyol dan Perancis tidak mempunyai sebarang klausa timbang tara dan bukan sebuah kontrak komersial.

"Pertikaian yang terbangkit melibatkan kedaulatan negara dan Malaysia tidak pernah pada mana-mana ketika mengetepikan kekebalan kedaulatannya dan penimbang tara tidak mempunyai kuasa untuk menyelesaikan perkara yang dibawa oleh penuntut,” menurut kenyataan itu.

Sekretariat itu berkata, perkara tersebut selaras dengan perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Sabah bagi pihak Kerajaan Malaysia pada 14 Januari 2020.

"Kerajaan Malaysia tidak akan berkompromi terhadap aspek kedaulatan dan keselamatan negara,” menurut sekretariat.

Pada 7 Mac, media asing melaporkan bailif Perancis cuba menguatkuasakan perintah rampasan ke atas tiga hartanah di Paris yang dimiliki oleh Kerajaan Malaysia susulan permohonan kumpulan itu berkaitan penganugerahan pampasan sebanyak AS$15 bilion (RM66 bilion) yang mereka peroleh terhadap Malaysia.

Pada 9 Mac lepas, Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said akan menjadi wakil kerajaan ke Eropah termasuk Perancis bagi mengendalikan kes tuntutan kumpulan Sulu membabitkan beberapa aset milik Malaysia. - Bernama