Keluarga lega Jahidah kini 'bebas'

Iklan
Mohd Amirul (dua dari kiri) menunjukkan dokumen kepada media sambil diperhatikan Fauziah pada Selasa.

SEREMBAN - Keluarga wanita yang dipukul suami sehingga koma dan terlantar, Jahidah Nordin, 44, akhirnya boleh menarik nafas lega apabila Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Selasa meluluskan permohonan tuntutan fasakh yang dikemukakan Februari lalu.

Hakim, Hamizan Mohd Nor membuat keputusan itu secara tertutup selepas mempertimbangkan keterangan secara bertulis yang dibuat oleh adik Jahidah, Fauziah, 41.

Iklan
Iklan

Sebelum itu, peguam Jabatan Bantuan Guaman Negeri Sembilan, Mohd Amirul Adam Ahmad menyerahkan kenyataan bertulis tujuh muka surat yang mengandungi 31 soalan kepada Hamizan.

Menurut Fauziah, keputusan itu sememangnya dinanti-nanti oleh keluarga memandangkan keadaan Jahidah yang sudah menderita hampir dua tahun.

Iklan

"Saya rasa terlepas sikit beban yang dipikul selama ini kerana selagi tiada kata putus berkenaan tuntutan fasakh ini, saya sentiasa rasa dihantui,"katanya.

Menurutnya, keluarga sememangnya sudah menerima keadaan Jahidah tetapi hanya mengharapkan pembelaan sewajarnya buat wanita itu.

Iklan

Ditanya pandangan berkenaan isu keganasan rumah tangga, Fauziah berkata, seorang suami sepatutnya menjadi penjaga dan pelindung isteri.

Katanya, jika suami tidak lagi mampu menjalankan tanggungjawab itu, lepaskanlah isteri secara baik.

Mohd Amirul menunjukkan dokumen yang akan diserahkan di mahkamah pada Selasa.

"Tak sepatutnya sehingga dipukul seperti mana yang berlaku kepada kak Jahidah. Ini pun kita tak tahu dia boleh sembuh macam dulu lagi ke tak.

"Wanita yang jadi mangsa keganasan suami juga perlu berani ambil langkah buat laporan, jangan diam saja," katanya.

Sementara itu, Mohd Amirul Adam berkata, sebelum ini pihak defendan telah dikehendaki hadir ke mahkamah namun tidak memberi kerjasama walaupun notis saman melalui iklan telah disiarkan di surat khabar pada 24 Februari lalu.

Bagaimanapun katanya, mahkamah berpuas hati dengan keterangan secara bertulis oleh pihak penjaga (ad litem) iaitu Fauziah dan dokumen-dokumen yang dikemukakan pada prosiding pada Selasa.

"Tuntutan fasakh mula dibuat pada 1 Februari lalu. Sepatutnya permohonan perlu dibuat Jahidah sendiri tetapi disebabkan keadaannya yang terlantar, jadi kita perlu buat permohonan penjagaan ad litem di Mahkamah Tinggi Syariah dan permohonan pengurusan harta di Mahkamah Tinggi Malaya.

"Berdasarkan penilaian dibuat, mahkamah berpuas hati dengan kedua-dua keputusan dua Mahkamah Tinggi itu dan pada hari ini (Selasa) memutuskan pernikahan Jahidah dengan Rosmaini difasakhkan bermula hari ini," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, dalam kejadian pada 4 Mei lalu, Jahidah yang menetap di Johor Bahru koma kerana kecederaan parah pada kepala dengan tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipukul suaminya yang berusia 38 tahun.

Jahidah pada mulanya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan kemudian dipindahkan ke HTJ Seremban atas permintaan keluarga dan nasihat pihak hospital.

Pada 17 Jun lalu, suami mangsa, Rosmaini Abd Raof mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor atas pertuduhan memukul isterinya yang hamil sehingga koma dalam kejadian pada 4 Mei lalu.