KUALA TERENGGANU - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) pada Selasa melancarkan sistem amil zakat yang dikenali sebagai e-Amil bagi menambah baik tadbir urus pungutan zakat sedia ada oleh amil.
Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, MAIDAM mengambil langkah membangunkan sistem tersebut bagi menggantikan penggunaan buku resit amil yang diguna pakai sebelum ini.
Menurutnya, melalui sistem itu, amil tidak perlu lagi menggunakan buku resit fizikal sebagaimana amalan lama sebaliknya hanya merekodkan hasil kutipan zakat terus ke dalam sistem.
"Resit rasmi zakat akan diberikan kepada pembayar zakat melalui telefon atau e-mel atau kedua-duanya dan resit boleh dicetak sendiri oleh pembayar berdasarkan keperluan mereka.
"Sistem e-Amil akan mula digunakan bagi urusan bayaran zakat fitrah dan harta secara berperingkat bermula 1 Ramadan nanti," katanya selepas menyempurnakan Multaqa Amil Zakat Negeri Terengganu 2023 di Taman Tamadun Islam (TTI), di sini pada Selasa.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan.
Sehingga kini, MAIDAM telah melantik seramai 954 orang amil zakat yang ditugaskan mengikut kawasan masing-masing dan 17 ejen zakat bagi membantu melancarkan pengurusan zakat di Terengganu.
Sementara itu, Shaikh Harun berharap sistem e-Amil yang dilancarkan itu dapat membantu meningkatkan jumlah kutipan zakat sebanyak RM260 juta yang disasarkan MAIDAM pada tahun ini di Terengganu.
Beliau berkata, pada tahun lalu, MAIDAM berjaya mengutip bayaran zakat sebanyak RM228.3 juta, meningkat 11 peratus berbanding RM205 juta kutipan pada tahun sebelumnya.
"Kita sasar peningkatan sebanyak RM32 juta tahun ini. Dengan kemudahan bayaran zakat melalui teknologi digital yang dilaksanakan MAIDAM, kita harap dapat mencapai sasaran ini," katanya.