PUTRAJAYA - Kaedah kawalan vektor baharu diperlukan bagi menangani ancaman kes jangkitan malaria zoonotik di negara ini, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.
Bercakap pada sidang media selepas merasmikan Tropical Infectious Disease Conference 2023 di sini hari ini, beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) ketika ini melaksanakan kaedah kawalan vektor melalui semburan residual racun serangga (IRS), penggunaan kelambu berubat dan ubat terapi gabungan artemisinin (ACT) bagi rawatan malaria.
"KKM perlu kenal pasti kaedah baharu untuk kawal jangkitan ini. Sekiranya tidak dikenal pasti segera, malaria zoonotik boleh mengakibatkan jangkitan malaria teruk dan berpotensi menyebabkan kematian sekiranya lewat didiagnos dan dirawat.
"Berbeza dengan kes jangkitan malaria manusia (human malaria), penularan jangkitan malaria zoonotik biasanya berlaku di luar rumah,” katanya.
Menurutnya, jumlah kumulatif kes malaria pada minggu epidemiologi kesepuluh tahun ini (ME10/23) merekodkan peningkatan 30.4 peratus iaitu 527 kes berbanding 404 kes pada tempoh sama tahun lepas, dengan 460 daripada jumlah itu adalah kes malaria zoonotik.
Jangkitan malaria zoonotik disebabkan oleh parasit plasmodium knowlesi ditularkan daripada haiwan iaitu beruk atau kera yang merupakan perumah semula jadi bagi parasit itu kepada manusia melalui gigitan nyamuk Anopheles sp.
Sementara itu, mengenai isu tuntutan pembayaran kerja lebih masa petugas kesihatan yang tular baru-baru ini, Dr Zaliha berkata KKM telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi menyelesaikan isu tersebut.
Pada Sabtu lepas, tular di media sosial dakwaan seorang petugas kesihatan di klinik kesihatan yang tidak dibenarkan membuat tuntutan pembayaran kerja lebih masa selama 30 minit susulan operasi dilanjutkan selepas waktu pejabat.
Jumaat lepas, KKM mengumumkan pemanjangan waktu operasi selepas waktu waktu pejabat di 52 klinik kesihatan di seluruh negara bagi mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan. - Bernama