GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan supaya meminda undang-undang bagi memastikan pesalah yang mencemarkan sumber air kita dihukum dengan lebih berat.
Presidennya, Mohaideen Abd Kader berkata, pihaknya mengalu-alukan keputusan dan usaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim untuk meminda Akta Industri Air 2006 untuk memasukkan hukuman yang lebih berat kepada pencemar.
Menurutnya, hukuman semasa yang mengenakan denda RM100,000 dan penjara selama setahun tidak memadai untuk menjadi pencegahan.
"Pindaan baharu itu akan mengenakan denda maksimum RM10 juta atau penjara 15 tahun adalah lebih wajar.
"Namun begitu, pindaan yang dicadangkan ini tidak cukup untuk menghentikan pencemaran air yang sedang berlaku.
"Pada tahun lepas sahaja terdapat banyak laporan mengenai keadaan banyak sumber air semula jadi kita (sungai dan tasik) yang teruk disebabkan oleh berlakunya pencemaran yang berleluasa," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, beberapa kes yang pernah berlaku sebelum ini seperti sisa babi yang dibuang ke dalam Sungai Rambai dan Tanjung Sepat telah mencemarkan air dan mengubahnya menjadi bahan enap cemar hitam dan pembalakan yang tidak terkawal di Tasik Kenyir menyebabkan air tasik menjadi keruh serta berlumpur dengan serpihan kayu terapung di dalam air.
Selain itu, katanya, perlombongan yang tidak terkawal di Tasik Biru Ibam menyebabkan air tasik menjadi keruh dan kilang yang mengeluarkan sisa buangan serta melepaskannya ke dalam Sungai Kabul.
Malah tambah beliau, status Tasik Chini sebagai sebahagian daripada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) UNESCO menjadi tanda tanya kerana perlombongan, pembalakan dan penebangan hutan yang tidak terkawal bagi penanaman pokok kelapa sawit, menyebabkan kerosakan teruk kepada tasik, flora serta fauna di sekitarnya.
"CAP menggesa kerajaan juga turut menutup kilang-kilang yang melakukan kesalahan untuk selama-lamanya dan membatalkan lesen syarikat yang merosakkan alam sekitar dengan aktiviti mereka," ujarnya.
Mohaideen berkata, kilang-kilang ini tidak boleh dibenarkan untuk menjalankan operasi mereka berdekatan dengan sungai atau mana-mana sumber air lain.
Tegasnya, kerajaan juga perlu memastikan terdapat tenaga kerja yang mencukupi dan kakitangan yang cekap untuk menangani penguatkuasaan undang-undang.