KUALA TERENGGANU - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menetapkan kadar zakat fitrah bagi umat Islam di negeri ini pada tahun ini adalah RM8, RM10 dan RM24 seorang.
Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, penetapan tiga kadar bayaran zakat fitrah itu adalah mengikut jenis beras yang dimakan setiap hari.
"Mereka yang makan nasi daripada beras super special tempatan perlu membayar zakat fitrah tidak kurang RM8 seorang.
"Bagi mereka yang menggunakan jenis beras selain daripada itu, kadar zakat fitrah adalah RM10 seorang untuk beras super import (siam) dan RM24 seorang untuk beras jenis premium seperti basmathi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyempurnakan Multaqa Amil Zakat Negeri Terengganu 2023 di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini pada Selasa.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan.
Menurut beliau, MAIDAM telah melantik seramai 954 orang amil zakat yang ditugaskan mengikut kawasan masing-masing dan 17 ejen zakat bagi membantu melancarkan pengurusan zakat di Terengganu.
Shaikh Harun berkata, pihaknya menyasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM10 juta pada tahun ini, meningkat RM2 juta berbanding RM8 juta yang berjaya dikutip pada tahun lepas.
"Peningkatan ini berdasarkan tiga kadar bayaran zakat fitrah yang ditetapkan pada tahun ini dengan rata-rata umat Islam kita jangka akan bayar antara RM12 hingga RM15 seorang," katanya.