Kerajaan Perlis perlu wujudkan hubungan baik dengan pusat

Iklan
Tuanku Syed Faizuddin berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama pada Istiadat Perbarisan Kawalan Kehormatan Utama dan perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Pertama DUN Perlis ke-15 hari ini. - Foto Bernama

KANGAR - Kerajaan negeri dan setiap wakil rakyat harus berusaha keras mewujudkan hubungan yang baik dengan kerajaan pusat supaya segala urusan berkaitan dengan pembangunan negeri berjalan lancar, titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

"Kepentingan rakyat wajib didahulukan dan diutamakan dengan mengetepikan fahaman politik,” titah baginda menerusi teks yang dibacakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada Istiadat Perasmian Penggal Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-15 di Kompleks DUN Perlis hari ini.

Iklan
Iklan

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

"Beta yakin, Kerajaan Perpaduan di bawah naungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat memberi kerjasama yang baik dan tidak akan meminggirkan negeri ini daripada arus rancangan pembangunan negara,” titah baginda.

Iklan

Baginda bertitah prestasi ekonomi negeri Perlis telah menunjukkan perkembangan yang positif dengan kadar pertumbuhan 1.5 peratus dicatatkan pada tahun 2021 berbanding penyusutan 6.0 peratus pada tahun 2020.

"Melalui pencapaian ini, Beta yakin Perlis akan dapat menyumbang kepada KDNK negara melalui peningkatan di sektor-sektor ekonomi utama seperti perkhidmatan dan lojistik, perlombongan, pelancongan, pertanian, keusahawanan dan penjanaan ekonomi berasaskan digital serta industri pembuatan,” titah baginda. - Bernama

Iklan