ALOR SETAR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pembangkang Kedah berharap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak meruntuhkan keharmonian terbina antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Zamri Yusuf berkata, Muhammad Sanusi perlu menjaga tutur kata demi memastikan rakyat Kedah tidak terkena tempias daripada perbuatannya itu.
Menurut beliau, Muhammad Sanusi sebagai seorang pemimpin perlulah hormat-menghormati pihak lain sama ada peringkat negeri ataupun persekutuan.
"Sikap dia yang suka berbalah mungkin memberi keuntungan politik buat dirinya kerana mendapat sokongan rakyat.
"Namun dengan kelemahan sikapnya yang suka bergaduh sana sini, ia akan merugikan rakyat Kedah sendiri,” katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini pada Selasa.
Zamri yang juga ADUN Suka Menanti berkata, Kedah pastinya akan menerima manfaat sekiranya kerjasama baik terjalin antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.
Dalam pada itu, beliau turut meminta Muhammad Sanusi dan beberapa ADUN Pas lain supaya tidak terus menyentuh dan mencabar isu perlembagaan yang melibatkan Pulau Pinang.
Zamri menegaskan, Muhammad Sanusi tidak seharusnya mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyentuh isu-isu perlembagaan dan kedaulatan antara negeri-negeri.
"Politik ini luas, tapi apabila sudah langgar sehingga sentuh isu sensitif itu sudah dikira ekstremisme dan ia tidak boleh berlarutan.
"Jadilah seorang individu, rakyat dan menteri besar yang bertanggungjawab," katanya.
Tambah beliau, Muhammad Sanusi diingatkan tidak terus bermain dengan perlembagaan sekiranya ingin mendapat sokongan politik sekali pun.
Menurut Zamri, isu membabitkan perlembagaan perlukan dihentikan dalam usaha mengukuhkan perpaduan di antara semua negeri di Malaysia.
Sementara itu, ADUN Bandar Baharu, Datuk Nor Sabrina Mohd Noor berkata, beliau berharap pemimpin Kedah berhenti menggunakan sentimen sensitif yang mampu memenangi dan mempopularkan mereka, namun boleh merugikan rakyat Kedah.
Nor Sabrina berkata, mana-mana pelaburan ingin dibawa masuk dan infrastruktur dirancang dibangunkan di Kedah tidak boleh direalisasikan tanpa kerajaan Persekutuan.
Kata beliau, kerajaan negeri tidak sepatutnya menidakkan kepentingan kerajaan Persekutuan dalam usaha membangunkan Kedah.