Rizam belum letak jawatan Ketua Pembangkang Selangor

Iklan
Suee Lim (kanan) memberitahu Rizam (kiri) masih belum menghantar surat letak jawatan sebagai Ketua Pembangkang di Selangor.

SHAH ALAM - Datuk Rizam Ismail (UMNO-Sungai Tawar) masih belum menghantar surat letak jawatan sebagai Ketua Pembangkang di Selangor, kata Speaker Dewan Selangor, Ng Suee Lim.

Beliau berkata demikian mengulas usul daripada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Bersatu-Bukit Antarabangsa), yang mencadangkan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Pas-Sijangkang) menjadi Ketua Pembangkang di negeri tersebut, semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Iklan
Iklan

Suee Lim bagaimanapun memaklumkan, Rizam perlu menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ketua Pembangkang kepadanya, sebelum perlantikan jawatan tersebut dibuat olehnya.

"Dalam Dewan, tidak boleh dengar cakap-cakap dan ia tidak boleh dibawa (ke dalam DUN), kena fakta, ada surat (daripada Rizam) dan sebagainya.

Iklan

"Malah beliau (Mohamed Azmin) tiba-tiba mewakili UMNO, saya pun terkejut, sepatutnya Rizam beri surat (peletakan jawatan) kepada saya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bagaimanapun Suee Lim memaklumkan, jawatan Ketua Pembangkang di negeri itu lebih sesuai disandang oleh Mohamed Azmin, atas faktor pengalaman dan jawatan yang pernah dipegang beliau, berbanding Ahmad Yunus.

Iklan

Malah beliau berkata, bekas Menteri Industri dan Perdagangan Antarabangsa (MITI) itu yang kini bukan ahli Parlimen, mempunyai lebih banyak masa terluang untuk menjadi Ketua Pembangkang di Selangor bagi memainkan peranan menimbal balik dasar kerajaan negeri.

Suee Lim turut menjelaskan, sekiranya jawatan Ketua Pembangkang tersebut disahkan kosong, beliau akan meminta blok pembangkang terbesar di Selangor untuk mencadangkan satu nama kepadanya, sebelum keputusan lantikan dibuat.

"Mungkin hari ini Rizam sibuk ada urusan, tapi kita akan beri ruang kepada blok pembangkang untuk membahaskan dalam masa yang diberikan,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Azmin dalam Persidangan DUN Selangor bangun dan membacakan Peraturan Mesyuarat ke-87, meminta Ng mengeluarkan petua berkenaan kedudukan Ketua Pembangkang DUN Selangor yang disandang Rizam, berikutan situasi politik semasa dengan UMNO lebih selesa bersama Pakatan Harapan.

"Semalam saya ada berbincang dengan ADUN Sungai Air Tawar (berhubung jawatan itu) dan beliau

sedia untuk menyerahkan tugas dan tanggunjawab pihak pembangkang ini kepada pihak kami. Sudah tentu peranan Ketua Pembangkang itu penting dalam membahaskan (hal) rakyat Selangor. Jadi saya nak dapatkan petua dari Speaker berhubung keadaan ini.

"Penting untuk DUN Selangor ini mewujudkan suasana yang cukup sihat dengan adanya pembangkang yang efektif dan berkesan, jadi saya pohon Speaker dengan saya mencadangkan Yang Berhormat Sijangkang sebagai Ketua Pembangkang DUN Selangor,” katanya. - Bernama