Banjir di Melaka, Pahang pulih, mangsa di Johor berkurang

Iklan
Anggota Polis Diraja Malaysia dari Balai Polis Yong Peng sedang giat bersihkan salah sebuah rumah mangsa banjir ketika tinjauan di sekitar perkampungan di Yong Peng pada Isnin. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Banjir yang melanda Melaka dan Pahang sejak awal bulan ini pulih sepenuhnya selepas tiga pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir yang beroperasi ditutup hari ini.

Di MELAKA, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu dalam daerah Jasin yang menempatkan 24 mangsa ditutup 10.30 pagi tadi.

Iklan
Iklan

Sementara di PAHANG, dua PPS di Rompin yang menempatkan 127 mangsa ditamatkan operasi pada 10 pagi.

Sekretariat JPBN melaporkan 90 mangsa di PPS SK Leban Chondong dan 37 mangsa lagi di PPS SK Kampung Aur dibenarkan pulang setelah kediaman mereka disahkan selamat.

Iklan

Di JOHOR, JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir berkurang sedikit daripada 38,587 orang pada 8 pagi tadi kepada 38,456 orang dan kesemuanya masih berlindung di 121 PPS.

Mangsa teramai adalah di Batu Pahat iaitu 37,717 orang, diikuti Muar (504), Segamat (172) dan Tangkak (63).

Iklan

Cuaca diramalkan cerah di sembilan daerah kecuali Kluang yang dijangka mendung pada petang ini. - Bernama