MELAKA TENGAH - Seorang penganggur diarah membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh tiga ahli keluarga termasuk bekas Pengerusi Tetap Wanita Umno Bahagian Tangga Batu dan cubaan membunuh yang lain di Bertam Malim, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin membuat keputusan itu selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya mengemukakan kes prima facie di akhir kes pendakwaan terhadap tertuduh, Luqman Hadi Mustapa, 31.
Berdasarkan pertuduhan, Luqman yang mengenakan kemeja-T berwarna putih ketika prosiding mahkamah, didakwa membunuh Mariah Baharin, 62 dan suami, Hassan A Wahab, 70, serta anak lelaki tunggal mereka, Mohammad Taufeq, 22.
Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga didakwa mendatangkan kecederaan dengan menetak tubuh dua anak perempuan pasangan terbabit, Noor Hazlinda Diyana, 27, dan Nuraqedah Aeina, 24, menggunakan sebilah parang panjang yang boleh menyebabkan kematian.
Bagi dua pertuduhan tersebut, Luqman Hadi didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh lebih kurang jam 5.50 pagi dan 6.15 pagi di sebuah rumah di Kilometer 7.2, Kampung Bertam Malim di sini pada 25 Ogos 2016.
Ahmad Nasfy pada penghakimannya berkata, namun pihak pembelaan sudah mengemukakan laporan daripada psikiatrik yang menyebut bahawa semasa kejadian tertuduh berada dalam keadaan tidak siuman.
"Maka adalah menjadi beban pembuktian ke atas tertuduh untuk membuktikan 'balance of probability' bahawa semasa kejadian tertuduh tidak siuman," katanya.
Ahmad Nasfy kemudiannya menetapkan 17 dan 18 Julai ini untuk mendengar pembelaan tertuduh dan seorang pakar psikiatrik akan dipanggil untuk memberi keterangan.
Dalam pada itu, seramai 25 saksi pendakwaan dipanggil sejak prosiding perbicaraan pada 22 Oktober tahun lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Badius Zaman Ahmad, Nabilalif Mohd Rosli dan Mazuin Hashim manakala tertuduh diwakili Peguam Fahmy Sulaiman.
Pada tiga tahun lalu, Sinar Harian pernah melaporkan tiga beranak termasuk sepasang suami isteri warga emas maut dipercayai dikelar seorang pemuda kira-kira jam 6 pagi di sebuah rumah di Kampung Bertam Malim.
Sementara dua anak perempuan pasangan terbabit dipercayai cedera parah dan dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.
Kelima-lima mangsa dicederakan seorang lelaki berusia 26 tahun disyaki ahli keluarga yang dijadikan anak angkat serta tinggal di rumah berkenaan.
Mayat Hasan dan isterinya ditemui dalam bilik tidur berasingan manakala anak lelaki tunggal mereka, Mohammad Taufeq dijumpai di ruang tamu dalam keadaan berlumuran darah.