KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan Projek Artikel 11 Jom Ziarah Gereja yang dikendalikan syarikat Impact Integrated Berhad tidak melibatkan belia Islam.
Ahli Parlimen Segambut itu turut menyangkal program berkenaan adalah usaha untuk menjadikan semua agama setaraf sebagaimana dakwaan segelintir pihak.
"Projek Artikel 11 Jom Ziarah yang diusahakan oleh Impact di bawah KBS (Kementerian Belia dan Sukan) bukan untuk menyamaratakan kedudukan mana-mana agama, bukan juga projek yang berniat beri gambaran semua agama adalah sama sebagaimana dakwaan dan anggapan sesetengah pihak.
"Pelaksanaan program melawat rumah ibadat bukan perkara baharu, Kementerian Perpaduan Negara juga pernah mengadakan lawatan rumah ibadat yang melibatkan pelbagai penganut melalui jawatankuasa mempromosikan persefahaman dan keharmonian antara penganut agama yang kini dikenali sebagai jawatankuasa harmoni di bawah kementerian itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan belanjawan 2023 KBS peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat pada Selasa.
Dalam pada itu Hannah berkata, sebagai bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri Subang Jaya, beliau memahami Perlembagaan Malaysia mengenai kedudukan agama Islam.
Beliau turut menegaskan, penyebaran agama Kristian kepada penganut Islam adalah salah dari sudut perundangan.
"Sebagai mantan Speaker DUN Selangor dan pegang ADUN Subang Jaya selama 10 tahun, saya tahu dan memahami undang-undang yang melarang 'evangelism'.
"Menfitnah saya menggunakan agensi di bawah KBS untuk tujuan tersebut adalah tuduhan melampau dan mahu menjadikan saya sebagai 'punching beg' bagi menutup dakwaan dan salah laku yang dihadapi pemimpin mereka. Saya bukan cakap pasal Pas, saya cakap pasal Bersatu (Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia) yang tuduh saya di luar sana.
"Saya juga ahli DAP, saya tahu dan memahami Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf Islam agama bagi Persekutuan yang mengiktiraf Islam agama Persekutuan,” jelasnya.
Sementara itu Hannah turut memaklumkan, sebarang program melibatkan belia yang dianjurkan kementerian lain tidak akan dilaksanakan semula oleh KBS bagi mengelakkan perkara seperti itu berulang pada masa akan datang.