KUALA LUMPUR - Keberkesanan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dalam mengendalikan agenda bumiputera akan diteliti semula berikutan dana yang disediakan kerajaan tidak disalurkan sepenuhnya kepada golongan sasar.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, Teraju dan agenda bumiputera sentiasa mendapat perhatian kerajaan dan sebanyak RM135 juta diperuntukkan untuk organisasi ini bagi 2023.
"Sebahagian daripada peruntukan itu tidak dapat ‘dilunaskan’ dalam pentadbirannya. Peruntukan diberikan RM100 juta, RM200 juta tapi yang sampai kepada penerima jauh lebih sikit. Jadi sebab itu, saya tidak mengulas panjang mengenai Teraju, bukan kerana kita tidak mengutamakan bumiputera tapi kita nak pastikan perkara itu tidak berulang,” katanya pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Ekonomi di Dewan Rakyat.
Teraju yang ditubuhkan pada 2011 di bawah Jabatan Perdana Menteri berperanan menerajui, menyelaras dan memacu agenda bumiputera bertujuan meningkatkan penguasaan kumpulan berkenaan dalam ekonomi negara.
Antara inisiatif di bawah agensi itu termasuk Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB), Dana Kemakmuran Bumiputera dan Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. - Bernama