Andrew cipta sensasi di kolam renang

Iklan
Andrew Goh

PERENANG muda negara, Andrew Goh Zheng Yen mencipta sensasi apabila berjaya memecah rekod kebangsaan acara 50 meter (m) kuak dada lelaki pada Kejohanan Renang Terbuka Malaysia ke-65 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, pada Selasa.

Lebih manis perenang berusia 19 tahun mencatatkan masa 28.10 saat (s) untuk memadam rekod Wong Fu Kang 28.59s pada 2016, sekali gus melepasi syarat kelayakan kategori B yang ditetapkan Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) untuk menempah tiket ke Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun, pada 14 hingga 30 Julai ini.

Iklan
Iklan

Atlet kelahiran Selangor itu yang bakal membuat penampilan pertama ke Sukan SEA di Kemboja, Mei ini, bagaimanapun, sekadar menduduki tempat ketiga selepas perenang Indonesia, Felix Viktor Iberle, mengungguli emas (27.65s) diikuti perenang Namibia, Ronan Zuberge Wantenaar (27.84s).

Andrew, yang juga pemenang emas Kejohanan Renang Peringkat Umur Asia Tenggara 2022, berkata beliau tidak menjangkakan mampu mencapai impiannya ke persada dunia dan berpuas hati dengan pencapaiannya kerana usaha kerasnya selama ini membuahkan hasil.

Iklan

"Sudah pasti matlamat jangka panjang saya untuk layak ke kejohanan dunia dan Olimpik sejak saya berusia tujuh tahun dan kini berusia 19 tahun ia adalah impian menjadi kenyataan. Hasil bimbingan jurulatih, saya berlatih dengan gigih dan akhirnya usaha ini berbaloi," katanya selepas saingan tersebut.

Sepanjang empat hari kejohanan bermula Jumaat lepas, Andrew berjaya menggondol lima pingat iaitu dua gangsa bagi acara 50m dan 200m kuak dada, tiga perak bagi acara 4x100m gaya bebas dan 4x100m rampaian berganti-ganti serta 4x200m gaya bebas berganti-ganti.

Iklan

Sementara itu, perenang negara, Khiew Hoe Yean, sekali lagi menampilkan prestasi cemerlang apabila berjaya memperoleh pingat perak acara 100m kuak lentang lelaki dengan catatan masa 57.12s.

Beliau ditinggalkan perenang Taiwan, Liang-Yun Wu, yang mencatat masa terpantas 56.44s manakala tempat ketiga disambar perenang Sarawak, Hii Puong Wei, dengan merekodkan masa 58.79s. - Bernama