Mechamato terima anugerah peminat anime di Tokyo

Iklan
Filem Mechamato terbitan Monsta menerima Anugerah Peminat Anime di Festival Anugerah Anime Tokyo (TAAF) 2023.

KUALA LUMPUR - Filem Mechamato terbitan syarikat tempatan Animonsta Studios (Monsta), yang melakar sejarah tersendiri sebagai animasi pertama dari luar Jepun memenangi Anugerah Peminat Anime, menerima anugerah itu hari ini di Festival Anugerah Anime Tokyo (TAAF) 2023.

Monsta dalam satu kenyataan memaklumkan Mechamato layak menerima anugerah itu selepas mendapat sambutan menggalakkan apabila ditayangkan di Cartoon Network dan Netflix Jepun tahun lepas.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Kreatif Monsta, Anas Abdul Aziz menerima anugerah itu dengan memakai baju Melayu biru muda mewakili syarikat berkenaan pada majlis yang berlangsung di Tokyo selama empat hari dari 10 hingga 13 Mac.

Menerusi ciapan di akaun Twitter, Anas menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan beliau kepada mereka yang sudi mengundi Mechamato.

Iklan

Kenyataan itu menyebut Monsta berbesar hati menerima pengiktirafan daripada Jepun, yang sememangnya terkenal dengan industri animasi hebat di mana Mechamato mampu menawan hati penonton negara itu terutama dalam kalangan kanak-kanak dan keluarga.

Mengulas rancangan masa depan Monsta untuk mengembangkan siri animasi itu di Jepun, Anas berkata Mechamato Musim Kedua sudah selesai menjalani proses alih suara untuk jadual siaran di negara berkenaan manakala Mechamato Musim Ketiga sedang dalam pembikinan.

Iklan

Mechamato kini berada di tangga teratas dalam kategori filem animasi tempatan serta ditayang di rangkaian pawagam Indonesia dan Singapura kerana ia telah dialih suara sepenuhnya ke dalam Bahasa Inggeris.

Sebelum ini, Anugerah Peminat Anime telah dimenangi oleh beberapa filem ikonik seperti Idolish Seven pada 2021 dan 2022, Uta no Prince-sama pada 2020 dan Yuri!!! On ICE pada 2018 dan 2017. - Bernama