MERAK Jalanan kagum melihat pengangkutan rel semakin mendapat sambutan sejak kebelakangan ini.
Ia terbukti apabila hujung minggu atau cuti sekolah tiket Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) habis dijual dengan cepat, malah tiket kelas perniagaan yang harganya ratusan ringgit turut habis dijual.
Walaupun Hari Raya Aidilfitri masih jauh iaitu minggu ketiga hujung bulan April, tiket menjelang hari perayaan itu telah habis dijual. Hanya tinggal beberapa tempat duduk untuk penumpang kurang upaya yang belum terjual.
Semasa musim cuti persekolahan pula, ramai ibu bapa bersama anak-anak mereka menaiki ETS sama ada perjalanan ke utara atau selatan. Mungkin ibu bapa berkenaan ingin memberi pengalaman kepada anak-anak mereka menaiki tren.
Bagi mereka yang berkeluarga, pastinya tiket dibeli lebih awal untuk mendapat tempat duduk yang strategik iaitu tempat duduk berhadapan yang dilengkapi meja makan.
Apa pun, anak-anak ini hanya mampu duduk diam sekurang-kurangnya 15 minit, selepas itu mulalah mereka hendak merayap ke sana ke sini.
Mungkin anak-anak ini teruja melihat pintu koc terbuka dan tertutup secara automatik apabila butang pintu ditekan atau mungkin ingin berasa terhuyung-hayang berjalan ketika tren bergerak laju.
Meskipun terdapat terdapat persaingan daripada kapal terbang dan bas ekspres, namun pilihan rakyat kepada kereta api masih tetap ada.
Malah pengangkutan yang berusia ratusan tahun ini terus diminati walaupun kadar pemilikan kenderaan persendirian menunjukkan peningkatan sehingga mengundang kesesakan di lebuh raya utama negara.
Banyak faktor-faktor positif yang melonjakkan kadar permintaan bagi pengangkutan rel ini.
Sehubungan itu pihak penyedia perlu mencari jalan penambahbaikan jangka panjang bagi memenuhi keperluan penumpang yang semakin meningkat ini.