SHAH ALAM - Kumpulan Media Karangkraf amat berbesar hati kerana menerima kunjungan daripada pelajar dalam dan luar negara yang ingin menimba ilmu mengenai penerbitan buku dan akhbar serta nilai-nilai murni syarikat ini sebagai panduan untuk diri mereka pada masa depan.
Pengerusi Kumpulan Karangkraf yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, beliau bangga dan gembira apabila dapat berkongsi operasi dan nilai syarikat penerbitan ini dengan pelajar terbabit.
"Mungkin ada beberapa faktor yang menyebabkan mereka tertarik dengan Karangkraf. Ini kerana Karangkraf sentiasa menerapkan nilai-nilai murni dan memenuhi aspek syariat dalam setiap bahan bacaan yang diterbitkan.
"Apabila pelajar baca buku kita, mereka akan lebih terbuka, merendah diri, pandai dan berfikiran luas,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada Selasa, seramai 75 pelajar daripada Babson College, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor dan Yayasan Selangor mengadakan satu lawatan ke Karangkraf.
Menurut Firdaus, lawatan diharap dapat mengembangkan minda pelajar sekali gus mendedahkan mereka dengan alam pekerjaan yang sebenar.
"Pelajar-pelajar akan lebih terbuka memandangkan waktu belajar dan bekerja sangat berbeza,” jelas beliau.
Ditanya mengenai perancangan syarikat untuk mengadakan program di peringkat antarabangsa, Firdaus memberitahu, ia akan dilaksanakan menerusi Yayasan Warisan Ummah Ikhlas.
"Kami akan mengadakan World #QuranConvention (WQC). Jadi, orang kenal kita bukan sekadar penerbit al-Quran tetapi lebih daripada itu. Kita menjemput penceramah dari dalam dan luar negara untuk kupas isu-isu mengenai remaja,” ujarnya.