KEPALA BATAS - Sebanyak 17 lokasi masjid dan surau di negeri ini dipilih Rumah Ngaji Pulau Pinang untuk penganjuran program tadarus dan tadabbur al-Quran sepanjang Ramadan tidak lama lagi.
Program satu jam 30 minit bersama al-Quran itu akan bermula di Surau Kampung Setul, Seberang Perai Utara dan dipimpin oleh Ustaz Sheikh Omar Ali Al Hafiz.
Penyelaras Rumah Ngaji Pulau Pinang, Zaiton @ Zariyah Abdullah berkata, program tradisi setiap kali Ramadan itu bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat di negeri ini memperbaiki bacaan dan memahami maksud ayat al-Quran malah ia sekali gus dapat mengimarahkan masjid dan surau di negeri ini.
"Pastinya semua wakil-wakil rumah ngaji di negeri ini telah bersedia untuk memastikan kelancaran program yang akan diadakan nanti dan kita jangkakan ia akan mendapat sambutan daripada masyarakat setempat.
"Selain itu, kesemua 53 rumah ngaji di negeri ini juga bersedia untuk menjayakan Kempen World #QuranHour yang akan mengangkat Surah Al-Insan pada kali ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, baru-baru ini.
Terdahulu, Zaiton bersama 120 wakil pengurusan rumah ngaji di negeri ini berkumpul dalam satu majlis sarapan mesra bagi mengeratkan ukhuwah selain meraikan 20 tenaga pengajar yang bakal menduduki ujian tauliah daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang.
Katanya, kempen sama turut dijalankan serentak diadakan di kesemua rumah ngaji di negeri ini.