KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bekas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dilantik semula sebagai Pengerusi Felcra.
Beliau berkata, pelantikan itu bermula 1 Mac lalu dan mendapat kelulusan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Pemilihan ini dibuat berdasarkan kepada prestasi yang ditunjukkan semasa Ahmad Jazlan diberikan tanggungjawab menerajui Felcra sebelum ini," katanya semasa Majlis Pengenalan Calon-calon Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Naib Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Peringkat Negeri Kelantan, di sini pada Rabu.
Mengulas mengenai pelantikan pengerusi, badan berkanun, syarikat holding dan yang diperbadankan di bawah Kementerian Kewangan, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memberitahu, ia akan diumumkan tidak lama lagi selepas mendapat perakuan Perdana Menteri.
"Perakuan tersebut adalah hak milik mutlak Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri mempersetujuinya.
"Bukan hanya tokoh politik, kita ada senarai nama tokoh korporat yang mampu menggalas tugas ini dengan baik," katanya.
Media pada Disember tahun lalu melaporkan, pelantikan Ahmad Jazlan ditangguhkan buat sementara waktu.
Ahmad Jazlan sebelum ini antara pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lantikan politik yang sudah menamatkan perkhidmatannya sebagai Pengerusi FELCRA, susulan pembentukan kerajaan baru, selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).