Lokman pertahan jawatan MKT kerana mahu semak, imbang parti

Iklan
Lokman Noor Adam

BATU PAHAT - Datuk Lokman Noor Adam berhasrat mempertahankan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang disandangnya selain menawarkan diri bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading.

Menurutnya, hasrat mempertahankan jawatan MKT adalah untuk menjadi seorang wakil yang membuat semak dan imbang dalam setiap keputusan pelaksanaan parti nanti.

Iklan
Iklan

"Dalam MKT juga akan memberikan peluang kepada saya untuk membawa suara ahli akar umbi bukan hanya di Bahagian Sri Gading namun seluruh negara khususnya negeri Johor," katanya ketika dihubungi.

Lokman sebelum ini dipecat daripada UMNO selama tiga tahun dan kembali menjadi MKT parti itu pada 17 Februari lalu.

Iklan

Beliau berkata, Parlimen Sri Gading turut penting baginya selepas tewas dua kali dalam pilihan raya umum (PRU) sebelum ini.

"Kalah dua kali dalam PRU14 serta PRU15 membuktikan penerimaan rakyat kepada UMNO sudah jauh merosot walaupun dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Parit Raja dan Parit Yaani milik parti itu.

Iklan

"Jika dilihat kepada situasi ini secara hakikatnya Parlimen Sri Gading boleh dimenangi oleh UMNO namun dengan tiadanya wakil yang mempunyai aura untuk menarik kepercayaan rakyat menyebabkan Barisan Nasional (BN) kalah lebih teruk dalam PRU15 berbanding sebelumnya," ujar beliau.

Lokman yang pernah menjadi calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis berpendapat, Bahagian Sri Gading perlu diwakili seorang pemimpin yang mempunyai pengalaman luas dalam politik.

Katanya, tanpa seorang pemimpin yang mempunyai aura dan pengalaman luas dibimbangi Parlimen Sri Gading akan terus menjadi milik Parti Amanah Negara (Amanah) biarpun parti itu sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH) dan UMNO pula berada dalam Kerajaan Perpaduan.

Kata Lokman lagi, kurangnya sokongan anak muda pada masa ini adalah kerana mereka memberontak untuk memerlukan seseorang pemimpin yang boleh membela nasib mereka dalam menghadapi cabaran hidup masa kini.

"Untuk itu, sebagai pemimpin saya akan melahirkan ramai anak muda berjaya selain mereka yang boleh menjadi jurucakap parti serta 'public figure' di bahagian ini.

"Oleh yang demikian saya mengharapkan perwakilan UMNO di Bahagian Sri Gading serta seluruh negara dapat memberikan kepercayaan kepada saya sebagai Ketua UMNO Bahagian Sri Gading serta MKT bagi penggal 2023 - 2026 ini," katanya.