Rafizi tak kisah digelar raja formula

Iklan
Rafizi Ramli

SEREMBAN - Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli tidak kisah dirinya kerap disindir pihak pembangkang sebagai raja formula.

Menurutnya, beliau yakin yang rakyat hari ini sudah bijak menilai dan yang menjadi keutamaannya ketika ini adalah menyelesaikan masalah rakyat.

Iklan
Iklan

"Mereka (pembangkang) tak sedar yang pengundi bandingkan menteri dan pemimpin kerajaan yang berterusan ada idea berbanding dengan bekas menteri atau pembangkang yang kerjanya hanya pandai menyindir, tetapi tiada satu idea pun untuk menambah baik keadaan rakyat.

"Kita juga tahu perkara yang mereka ungkit berkenaan formula itu adalah perkara 10 ke 15 tahun lalu yang mana keadaannya berbeza pada masa sekarang," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke tapak mesin layan diri Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di Terminal One di sini, pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata demikian mengulas sindiran pihak pembangkang yang mengelarkannya sebagai raja formula.

Sebagai contohnya, Rafizi berkata, pada tahun 2010, beliau pernah memberi amaran kepada kerajaan supaya melakukan sesuatu berhubung hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang ketika itu mencecah RM20 bilion.

Iklan

Bagaimanapun katanya, pandangannya tidak diambil perhatian oleh kerajaan ketika itu dan sekarang hutang PTPTN telah mencecah RM40 bilion dan pada masa sama hutang negara pula RM1.5 trilion.

"Pada waktu itu kita masih ada lagi ruang kewangan untuk selesaikan masalah itu, tapi sekarang sukarlah.

"Sama juga bila pembangkang terutama Pas ungkit bila nak turunkan harga kereta sedangkan mereka juga tahu cukai eksais kereta sekarang menyumbang RM9 bilion ke RM11 bilion pendapatan negara setiap tahun," katanya.

Justeru itu katanya, kerajaan perlu berbelanja secara berhemah dengan mengutamakan perbelanjaan yang menjadi keperluan negara dan harus seimbang dengan pendapatan yang ada.

"Sama juga bila dia (pembangkang) kata bila nak turunkan harga minyak. Dia tak sedar formula harga minyak yang ada sekarang ini merupakan idea yang saya perjuangkan ketika menjadi pembangkang dahulu.

"Sebab itu saya tak kisah sangat disindir raja formula kerana yakin rakyat boleh menghakimi. Kalau saya nak bertikam lidah sepanjang masa dengan pembangkang, kerja yang sepatutnya kita buat, ia akan tergendala," katanya.