Ahmad Maslan tawar diri tanding jawatan ahli MKT

Iklan
Ahmad (tengah) ketika melakukan lawatan kerja di LHDN Kelantan pada Rabu.

KOTA BHARU - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menawarkan diri bertanding jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu pada pemilihan kali ini.

Ahli Parlimen Pontian yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian tersebut turut bertanding bagi merebut jawatan ketua bahagian.

Iklan
Iklan

"Saya bertanding di kawasan sendiri, daripada timbalan kepada menawarkan diri untuk jawatan ketua.

"Sebelum ini pun saya bertanding MKT dan saya ingin mempertahankannya. Saya calon nombor enam,” katanya pada sidang akhbar selepas lawatan kerja ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kelantan di sini pada Rabu.

Iklan

Turut hadir, Pengarah LHDN Kelantan, Wan Roslan Wan Ismail.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan turut menekankan pemilihan tersebut perlu diberikan kepada mereka yang boleh membantu mengukuhkan parti dan betul-betul mantap untuk berhadapan dengan cabaran getir selama lima tahun akan datang.

Iklan

"Kami harap hanya pemimpin yang mempunyai keupayaan dipilih,” katanya.

Dalam perkembangan lain, proses pemilihan UMNO peringkat bahagian melibatkan Pemuda Titiwangsa dan Semporna belum ada keputusan.

"Wanita Kuala Kedah pula diminta bersidang semula pada Rabu namun hal itu tidak akan menjejaskan jawatan ketua dan naib yang sudah dimenangi,” ujar Ahmad.

Sementara itu, Ahmad memberitahu surat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang tular bersabit pengecualian terhadap usul tambahan pada Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini adalah sulit.

"Surat yang saya terima ada (cop) sulit tetapi surat yang diedar itu tidak ada.

"Surat daripada Kementerian Dalam Negeri adalah sulit dan rahsia. Saya sudah membuat penjelasan berhubung perkara ini,” katanya.