ALOR GAJAH - Menu Rahmah RM3.50 menjadi inisiatif baharu Kolej Komuniti Masjid Tanah (KKMT) dalam usaha membantu mengurangkan beban kos sara hidup yang dihadapi oleh pelajarnya.
Pengarahnya, Zaidi Othman berkata, dengan kerjasama Zaskah Enterprise, kontraktor kafeteria KKMT menyahut seruan kerajaan dengan menawarkan Menu Rahmah bagi hidangan makan tengah hari dengan variasi pilihan harga bermula RM3.50 sehingga RM5.
Menurutnya, Menu Rahmah KKMT ini amat istimewa kerana ianya dijual dengan harga berpatutan iaitu serendah RM3.50 kepada pelajar.
"Menu Rahmah KKMT ini adalah disediakan khas untuk membantu mereka,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sementara itu, rata-rata pelajar yang ditemui menyambut baik pengenalan Menu Rahmah KKMT ini dan berharap ia dapat diteruskan bagi meringan beban perbelanjaan mereka.
Pelajar Diploma KKMT, Muhammad Kamarul Hamizi Kamalludin, 21, berkata, dia bersyukur apabila adanya menu tersebut di kolej susulan agak sukar untuk mendapatkan hidangan tengah hari dengan harga tersebut di luar.
"Lauk menu menarik dan sedap malah murah pula, sesuailah dengan status kami yang merupakan pelajar ini sekali gus dapat menjimatkan wang saya," katanya.
Pelajar sijil, Sofia Annisa Shafizal,19, pula berpendapat, Menu Rahmah ini perlu diteruskan pelaksanaannya berikutan pelajar kini bergantung kepada makanan yang murah berikutan kekangan sumber kewangan.
"Jika membeli makanan yang lebih mahal, kami terpaksa mengatur semula perbelanjaan untuk memastikan mampu bertahan sehingga hujung semester.
"Justeru, inisiatif KKMT ini dapat mengurangkan beban kewangan kerana perlu berbelanja untuk kegunaan harian lain bagi melancarkan proses pembelajaran dan pelajaran kami," ujarnya.