DKKP kepada Terengganu dijangka disalurkan seperti biasa

Iklan
Ahmad Samsuri

KUALA TERENGGANU - Terengganu dijangka menerima bayaran Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) dari kerajaan pusat sebagaimana yang disalurkan sebelum ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, khabar gembira itu diperolehi hasil pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Seri Perdana pada Selasa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, wang DKKP yang juga dianggap sebagai royalti petroleum akan dibayar kepada kerajaan negeri pada akhir bulan ini.

"Bayaran biasanya dibuat sebanyak dua kali setahun," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman pada Rabu.

Iklan

Mengulas mengenai pertemuan bersama Anwar, Ahmad Samsuri memaklumkan ia berlangsung dalam suasana positif dan penuh dengan semangat keterbukaan antara kerajaan negeri dan pusat.

Jelas beliau, pelbagai perkara berkaitan urusan negeri dibincangkan bersama Perdana Menteri termasuk program pembasmian kemiskinan, pembangunan dan kewangan.

Iklan

"Beberapa keputusan penting juga akan dilaksanakan oleh kerajaan pusat di Terengganu namun ia masih belum boleh dimaklumkan setakat ini," ujarnya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat memaklumkan bahawa Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum sebanyak lima peratus.

Menurut Azalina, ini kerana Akta Laut Wilayah 2012 menetapkan bahawa negeri hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika dan Petronas juga tidak pernah menyalurkan hasil petroleum secara langsung kepada Kelantan dan Terengganu selama ini kerana kedudukan medan pengeluaran adalah terletak di luar kawasan terbabit..