Contohi Pulau Pinang reformasi perkhidmatan awam

Iklan
Ramasamy

GEORGETOWN - Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy mendakwa Kerajaan Perpaduan mungkin tidak bersifat reformis sepenuhnya dalam isu pekerjaan perkhidmatan awam khususnya kekurangan penyertaan orang bukan Melayu.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang itu berpendapat dengan Pakatan Harapan (PH) sebagai peneraju, pembaharuan sudah pasti dapat dilaksanakan dan ia perlu dihargai.

Iklan
Iklan

Mengambil contoh inisiatif pekerjaan di Pulau Pinang, Ramasamy berkata, apabila kerajaan Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih kuasa pentadbiran negeri pada tahun 2008, terdapat kelemahan cara pengambilan dan kekurangan yang ketara terhadap pengambilan orang Melayu, orang bukan Melayu dan wanita yang kompeten dan berkebolehan.

Menurutnya, pada 2009, kerajaan negeri Pulau Pinang mengeluarkan dasar yang dipanggil pengambilan seimbang atau dasar pekerjaan seimbang untuk meningkatkan taraf perkhidmatan awam negeri.

Iklan

"Pekerjaan diiklankan, calon ditapis sebelum temu duga, temu duga diadakan dan calon yang sesuai dan berbakat ditawarkan pekerjaan.

"Kaedah ini memastikan bahawa orang Melayu, orang bukan Melayu serta golongan wanita yang berkebolehan mempunyai peluang untuk diambil berdasarkan merit," tulisnya dalam hantaran Facebook miliknya pada Rabu.

Iklan

Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai mendakwa, ketika di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, wujud sikap pilih kasih dan nepotisme yang tinggi dalam agensi negeri.

Katanya, kekurangan saringan yang berkesan, prosedur pekerjaan yang tidak betul dan lain-lain menyebabkan agensi negeri tidak menunjukkan prestasi yang diharapkan.

"Tanggapan pekerjaan seimbang tidak hanya tertumpu pada pembaharuan ketidakseimbangan kaum, tetapi mengambil kira soal merit, dan kemasukan golongan wanita secara beransur-ansur.

"Oleh itu, di bawah sistem pengambilan pekerjaan ini, tiada tempat untuk pemindahan atau layanan keutamaan berdasarkan etnik atau kelas," tambahnya.

Dalam pada itu, Ramasamy berkata, metodologi pekerjaan seimbang telah meningkatkan prestasi perkhidmatan awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Pulau Pinang sejak 15 tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, masih banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan pada masa hadapan.

Beliau berkata, amalan institusi tertentu yang tidak menyumbang kepada prestasi perkhidmatan awam secara keseluruhan dan ia mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk diperbaharui.

"Dalam hal ini, walaupun terdapat batasan perlembagaan dan lain-lain, Pulau Pinang dengan mengambil kira faktor telah membuat permulaan dan pembaharuan yang ketara dalam mereformasikan perkhidmatan awam.

"Metodologi pekerjaan yang seimbang pastinya telah meningkatkan penyertaan kualitatif kedua-dua orang bukan Melayu dan orang Melayu dalam sektor awam Pulau Pinang.

"Orang Melayu masih dalam majoriti, tetapi terdapat peningkatan yang ketara dalam memberi peluang pekerjaan kepada orang bukan Melayu dan wanita," katanya lagi.

Beliau berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang secara sedar telah menjauhkan diri daripada terjebak dalam perangkap permainan sifar etnik.

Jelasnya, dasar pengambilan pekerjaan Pulau Pinang mungkin bukan sesuatu yang ideal, tetapi ia sudah tentu bergerak melangkaui permainan catur pembangkang yang selalu mengadukan orang Melayu dengan orang bukan Melayu.

"Pembaharuan perkhidmatan awam bukan sekadar mengimbangi kepentingan etnik atau agama, tetapi lebih kepada tentang mengkaji secara serius dan terperinci tentang keperluan perkhidmatan berdasarkan pertimbangan etnik, jantina, merit dan kelas sosial.

"Hanya perspektif yang holistik tentang pembaharuan perkhidmatan awam boleh berjaya dilaksanakan di mana wujudnya fikiran yang tertanam secara dalam yang sedang merosakkan bangsa dan agama sekarang," katanya.