IPOH - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak membuat laporan polis terhadap Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu susulan ucapan dalam Perhimpunan Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Ahad lalu yang disifatkan sebagai biadab.
Ketua AMK negeri, Zaim Sidqi Zulkifly berkata, kenyataan Timbalan Presiden Bersatu itu adalah sangat angkuh dan satu tindakan khianat.
"Kita meminta supaya pihak berkuasa menyiasat kenyataan ini yang bertujuan untuk menimbulkan kekacauan dan menjejaskan kredibiliti Perdana Menteri.
"Kenyataan yang dibuat itu menunjukkan beliau sudah ketandusan idea dan hanya berniat jahat untuk menimbulkan kekacauan demi meraih laba politik," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini pada Rabu.
Zaim Sidqi berkata, rakyat Malaysia wajar menolak parti yang mengamalkan politik fitnah sebagai senjata ampuh.
Katanya, sebagai pemimpin dan ahli politik, sewajarnya fokus kepada usaha membangunkan negara yang lebih baik di bawah Malaysia Madani.
Video ucapan perbahasan Ahmad Faizal berdurasi 34 saat pada Perhimpunan Agung Bersatu, 12 Mac lalu itu tular di laman sosial.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menewaskan Ahmad Faizal selaku penyandang kerusi dengan memperoleh 49,625 undi dan majoriti sebanyak 3,736 undi.
Tiada komen, biar polis siasat: Ahmad Faizal
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyerahkan kepada polis menjalankan siasatan terhadap laporan dibuat Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak.
Beliau berkata, tiada yang perlu diulas mengenai dakwaan sayap Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang menyatakan ucapannya dalam Perhimpunan Agung Bersatu, Ahad lepas sebagai biadab dan berunsur fitnah.
"Teman (saya) tak nak komen itu. Bior (biar) la polis siasat laporan deme (mereka)," katanya dalam satu pesanan ringkas kepada pemberita pada Rabu.
Video ucapan perbahasan Ahmad Faizal berdurasi 34 saat pada perhimpunan 12 Mac lalu, tular di laman sosial.
Susulan itu, AMK Perak membuat laporan polis meminta pihak berkuasa menyiasat kenyataan berkenaan yang disifatkan bertujuan untuk menimbulkan kekacauan dan menjejaskan kredibiliti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua AMK negeri, Zaim Sidqi Zulkifly berkata, kenyataan yang dibuat Ahmad Faizal itu hanya berniat jahat demi meraih laba politik.