Hukuman MFL bebankan Kelantan

Iklan
BIBI RAMJANI

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) menganggap tindakan Liga Bola Sepak Malaysia (MSL) mengenakan pemotongan geran tahunan menambahkan lagi beban ketika Kelantan bergelut untuk menghabiskan baki saingan Liga Premier musim ini.

Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, MFL seharusnya bersikap adil kerana hukuman tersebut memberi kesan besar kepada semua pasukan terlibat yang merupakan pemegang taruh kepada organisasi penganjur Liga Malaysia (Liga-M) itu.

Iklan
Iklan

"Kita pun tak tahu kesalahan jenis apa dilakukan kerana dahulu lesen kena sekat, sekarang geran pula kena sekat dan selepas ini tak tahu berapa banyak lagi hukuman (menanti Kelantan).

"Saya minta maaf tapi saya kena bersikap terbuka dalam memberi pandangan. Hukuman ini bukan membantu menyelesaikan masalah tapi menambahkan lagi beban Kafa untuk menghadapi musim-musim seterusnya,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Iklan

Semalam MFL mengumumkan tujuh pasukan iaitu tiga daripada Liga Super seperti Kuala Lumpur, Felda United, Melaka United dan empat daripada Liga Premier iaitu Kelantan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sarawak dan Pulau Pinang dikenakan pemotongan geran tahunan sebanyak 50 peratus setelah gagal mematuhi tarikh akhir pendaftaran 31 Disember tahun lalu.

Malah bukan itu sahaja, Kuala Lumpur, Kelantan, Pulau Pinang, PDRM dan Sarawak juga dikenakan sekatan perpindahan pemain bagi jendela perpindahan kedua bermula 2 Mei ini kerana mengulangi kesalahan sama seperti tahun lalu.

Iklan

Tegas beliau, hukuman tersebut seperti mahu membawa Kelantan keluar daripada beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

"Tahun lepas (kena potong) RM500,000 dah, tahun ini (pemotongan kedua) RM500,000, (menjadi) RM1juta dah. Seolah-olah nak tengok Kelantan tak ada dalam liga,” katanya.

Menurutnya lagi, dalam keadaan Kelantan mengharungi situasi sukar, MFL dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sepatutnya bersikap membantu dan bukannya terus memberi tekanan ke atas ahli gabungan.

"Masalah kecil akan jadi besar kalau MFL buat begini. Ahli gabungan sedang bergelut dengan pelbagai masalah dalaman dan tekanan luar. Kita mengadu kepada bapa (FAM dan MFL) untuk mendapatkan ihsan tapi usahkan simpati, yang dapat tendang terajang daripada bapa.

"Janganlah masa susah ditambahkan lagi dengan pelbagai kesusahan. Kalau bukan MFL atau FAM yang boleh jaga (bantu) siapa lagi yang boleh tolong kami,” katanya lagi.