PELAKON, Eyra Hazali mendedahkan persiapan perkahwinan yang dijangkakan akan diadakan pada penghujung tahun ini sudah 60 peratus siap sementara selebihnya akan disambung selepas selesai urusan kerja.
"Shooting saya akan habis hujung bulan Ogos dan selepas itu saya akan sambung semula untuk habiskan persiapan majlis kahwin kami.
"Mengenai tarikh akan saya kongsikan menerusi media sosial, namun tengoklah macam mana dulu, sama ada lambat ataupun cepat,” ujarnya.
Eyra dan Haziq selamat bertunang dan Muhammad Haziq Nadzli yang merupakan penjaga gol pasukan bola sepak Malaysia bawah 22 tahun, selamat bertunang pada 1 Disember tahun lalu.
Eyra ditemui pada sidang media selepas memenangi anugerah Artis Baharu meleTOP AME 2019.
Eyra atau Hazirah Qasdina Hazali, menyifatkan kemenangannya itu sebagai rezeki dari Allah.
"Dari awal saya merasakan Sarah Suhairi yang akan memenangi kategori tersebut kerana dia mempunyai peminat yang sangat ramai. Tetapi, alhamdulillah rezeki berpihak kepada saya.
"Ini semua kerana kerja kuat kelab peminat saya the Nizers yang sudi mengundi dan menyokong kerjaya seni saya,” katanya.