ALOR SETAR - Proses pemilihan semula sayap Wanita UMNO Kuala Kedah berjalan lancar tanpa sebarang kekecohan ataupun masalah yang timbul sehingga jam 5.30 petang, Rabu.
Pemilihan jawatan Ketua Wanita UMNO bahagian itu menyaksikan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim mencabar penyandang, Noor Hasita Mat Isa.
Setiausaha UMNO Kedah, Datuk Ariffin Man berkata, proses membuang undi berkenaan berlangsung selama tiga jam bermula 2.30 hingga 5.30 petang.
"Alhamdulillah, perjalanan proses pendaftaran berjalan dengan baik, malah tempat pengundian yang agak selesa kerana kita menyediakan kotak-kotak (undi) ini lebih daripada 50 kotak.
"Jadi, rumusan daripada proses pendaftaran dan juga pengundian bolehlah saya simpulkan daripada 762 perwakilan (wanita) yang hadir pada petang ini adalah seramai 555 orang," katanya kepada pemberita selepas selesai sesi pengundian semula Wanita UMNO Bahagian Kuala Kedah di Bangunan Tunku, di sini, pada Rabu.
Menurut beliau, pihak mereka juga menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin bagi memastikan proses pendaftaran hingga pengundian berjalan dengan baik.
"Jikalau dilihat (pada) kehadiran perwakilan-perwakilan amatlah membanggakan dan keharmonian proses pembuangan undi itu berjalan dengan lancar," katanya.
Tambah Ariffin, perwakilan tetap bersemangat menunaikan tanggungjawab mereka biarpun perlu melakukan pengundian semula.
"Alhamdulillah, nampak semangat perwakilan wanita Kuala Kedah sangat baik, semangat cukup tinggi," katanya.
Beliau menyifatkan, ahli telah menunaikan tanggungjawab mereka sebagai perwakilan, sekaligus menunjukkan kesuburan demokrasi dalam parti berjalan dengan baik.
Pada Rabu, Perwakilan Wanita UMNO Kuala Kedah sekali lagi membuang undi mereka bagi memilih Ketua Wanita UMNO Kuala Kedah dan meredakan kebimbangan yang timbul selepas percanggahan dalam pengiraan undi ketika mesyuarat pada 11 Mac lepas.
Ia berikutan Jawatankuasa Pemilihan Bahagian Kuala Kedah mendapati sebanyak 570 kertas undi diterima selepas proses pengundian berbanding 521 perwakilan yang hadir pada mesyuarat sayap itu pada Sabtu.
Susulan itu, keputusan dibuat untuk menangguhkan pemilihan sayap Wanita Kuala Kedah setelah terdapat ura-ura kemungkinan pemilihan bahagian tersebut dicemari pengundi hantu dalam proses undian.