SHAH ALAM - Pejabat Perdana Menteri (PMO) tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang secara sengaja menyalahgunakan nama atau kedudukan kementerian itu untuk tujuan tertentu.
PMO dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius berhubung perkara tersebut.
"Oleh itu, pihak kami akan mengambil tindakan lanjut termasuk melibatkan sudut perundangan terhadap mana-mana pihak sekiranya didapati berbuat demikian.
"Tindakan ini adalah amat tidak bertanggungjawab sekaligus memberi dampak negatif kepada kredibiliti PMO dan institusi kerajaan," katanya pada Rabu.
Pada Rabu, Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mendakwa menerima ugutan daripada individu bernama ‘Deepak’ berkaitan isu telur import dari India.
Beliau mendedahkan perkara itu ketika sesi Perbahasan Belanjawan 2023 Peringkat Jawatankuasa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Dewan Rakyat.
Ka Siong yang juga Presiden MCA turut mendedahkan individu berkenaan menelefonnya semalam dan mendakwa telah berbincang dengan PMO.
Lelaki tersebut mendesak beliau membetulkan kenyataan yang dibuat di Dewan Rakyat mengenai isu import telur dari India.