Piala Sultan Selangor kembali temui peminat selepas tiga tahun

Iklan
Abd Karim

KEJOHANAN Piala Sultan Selangor bakal menemui peminat bola sepak di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, 28 Oktober depan.

Perlawanan bola sepak persahabatan edisi ke-19 itu kembali dianjurkan selepas tiga tahun susulan pandemik.

Iklan
Iklan

Pengerusi dan Pengurus Pasukan Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abd Karim Munisar berkata, kejohanan yang diilhamkan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah itu melibatkan pertembungan antara pasukan Pilihan Selangor dan Pilihan Singapura bagi merebut piala berprestij tersebut serta wang tunai RM80,000.

Turut menjadi tumpuan ialah perlawanan pasukan veteran antara Selangor dan Singapura sebagai acara pembuka tirai.

Iklan

"Kejohanan Piala Sultan Selangor amat diminati dan ditunggu oleh peminat bola sepak, dapat mengimbau sejarah pertembungan Selangor-Singapura dan menyaksikan aksi-aksi veteran legenda bola sepak Selangor dan Singapura,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan dan penyerahan surat watikah pelantikan Ahli-Ahli Jawatankuasa (AJK) Piala Sultan Selangor baharu yang diperkenan Sultan Sharafuddin di Shah Alam pada Rabu.

Abd Karim berkata, kejohanan akan dimulakan dengan perlawanan Veteran Selangor menentang Veteran Singapura pada jam 8 malam, diikuti perlawanan utama antara Pilihan Selangor berdepan Pilihan Singapura pada 9 malam.

Iklan

Bagaimanapun, katanya Perlawanan Gabungan Sekolah Selangor menentang Gabungan Sekolah Singapura tidak diadakan tahun ini.

Beliau menjangkakan seramai 70,000 pengunjung membanjiri stadium bagi menyaksikan perlawanan bersejarah tersebut.

"Sultan Selangor sangat prihatin dengan keselamatan pengunjung yang dijangka meningkat di acara tersebut, oleh itu, kawalan keselamatan kali ini mendapat kerjasama dua pasukan polis membabitkan Polis Kontigen Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata, kali terakhir Piala Sultan Selangor diadakan pada 2019, Pilihan Selangor merangkul kejuaraan dengan menundukkan Pilihan Singapura 1-0. - Bernama