Sukan SEA: Skuad sepak takraw negara mantapkan jati diri

Iklan
Ahmad Jais

SEMANGAT berpasukan yang tinggi berupaya menjadi kunci kejayaan skuad sepak takraw lelaki negara untuk merangkul lebih daripada satu pingat emas pada Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh, Kemboja, 5 hingga 17 Mei ini.

Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) sebelum ini menyandarkan sasaran dua pingat emas pada acara double lelaki dan chinlone yang merupakan sukan kebangsaan Myanmar.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, skuad kebangsaan yang akan turut berentap dalam acara regu berpasukan dan antara regu pada temasya dwitahunan itu sebenarnya berpotensi mencipta kejutan meraih emas dalam salah satu acara berkenaan biarpun cabaran jaguh dunia, Thailand menanti.

Ketua Jurulatih Kebangsaan, Ahmad Jais Baharun berkata, hanya elemen semangat berpasukan dan komitmen tinggi pemain dapat memastikan Malaysia mengukir kejayaan membanggakan di Kemboja.

Iklan

"Ia (elemen-elemen) sedang dipupuk dalam setiap pemain, kita nampak dari hari ke hari semangat ini semakin bertambah, mungkin boleh jadi kunci kejayaan kepada pasukan di Sukan SEA.

"Daripada semangat berpasukan akan membentuk jati diri tinggi kerana sepak takraw bermain secara berpasukan. Jika mereka dapat memantapkan jati diri dan semangat, ia memberi lebih keyakinan dan mampu mempamerkan prestasi lebih baik pada hari perlawanan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pada Selasa.

Iklan

Pada edisi di Hanoi, Vietnam tahun lalu, skuad sepak takraw lelaki negara gagal membawa pulang emas dan sekadar meraih tiga perak dalam acara regu berpasukan, antara regu dan double.

Pingat emas acara regu berpasukan dan antara regu menjadi milik Thailand sementara Indonesia merangkul emas double.

Kali terakhir Malaysia meraih emas menerusi acara antara regu lelaki ialah ketika menjadi tuan rumah Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, namun ketika itu acara tersebut tidak disertai Thailand.