PUTRAJAYA - Orang ramai menyambut baik inisiatif pelanjutan waktu pengoperasian di 52 klinik kesihatan di seluruh negara.
Tinjauan Sinar Harian di Klinik Kesihatan Presint 9, dekat sini pada Isnin mendapati pengunjung mulai ramai sesudah waktu pejabat iaitu selepas jam 5 petang.
Rata-rata yang ditemui berkata, langkah tersebut memudahkan bagi mereka yang bekerja.
Pembantu jururawat hospital swasta, Awietha Abdul Rahman, 35, berkata, inisiatif tersebut sangat membantu orang ramai untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan selepas waktu bekerja.
"Saya tidak lagi perlu keluar waktu bekerja untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan,” katanya.
Menurutnya, pelanjutan waktu operasi di klinik kesihatan juga mampu mengelakkan kesesakan di jabatan kecemasan hospital kerajaan.
Penjawat awam, Nurshafinaz Hamidon, 39, berkata, tempoh menunggu untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan selepas waktu bekerja adalah singkat.
"Dekat sini, prosesnya cepat. Tak sampai satu jam sudah selesai,” katanya.
Dalam pada itu, Jalilah Othman, 38, yang juga penjawat awam berkata, langkah tersebut memberi pilihan kepada rakyat untuk mendapatkan rawatan di luar waktu bekerja.
"Jika sebelum ini, untuk dapatkan rawatan selepas waktu bekerja, kita ke klinik swasta. Tidak semua orang mampu, namun dengan inisiatif ini, ia menjimatkan,” ujarnya.
Di KOTA BHARU, tinjauan Sinar Harian di Klinik Kesihatan Bandar, di sini mendapati, orang ramai kelihatan tenang menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan selepas waktu bekerja.
Usahawan, Adlin, 31, berkata, dia sudah lama mengetahui waktu operasi itu dilanjutkan sehingga jam 10 malam.
"Ia bagus, sekurang-kurangnya kami tidak perlu bersesak di hospital kerajaan, cukup dengan datang ke sini untuk sakit-sakit biasa seperti demam dan lain-lain,” jelasnya.
Bagi Mah Abu Bakar, 38, dia suka mendapatkan rawatan selepas waktu pejabat iaitu jam 6 petang ke atas kerana tidak perlu bersesak dan berebut parkir kereta.
Ujar peniaga makanan itu, kawasan di klinik tersebut terutama di Kota Bharu sangat sukar mendapatkan tempat letak kereta kerana ia kawasan tumpuan.
"Terima kasih kepada pihak KKM kerana memahami keperluan rakyat,” katanya.
Bagi Muhamad Zain Mohd Yusoff, 31, yang bekerja sendiri, dia tidak tahu Klinik Kesihatan Bandar Kota Bharu beroperasi sehingga jam 10 malam.
Jelasnya, sebelum ini jika perlu mendapatkan rawatan pada sebelah malam, klinik swasta akan menjadi pilihan walaupun perlu mengeluarkan bayaran mahal.
Pada Jumaat, media melaporkan waktu pengoperasian klinik kesihatan (KK) dipanjangkan bagi mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan Hospital Kerajaan.
Menurut hebahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di laman Facebooknya, pemanjangan waktu operasi selepas waktu pejabat itu dilaksanakan di 52 buah klinik kesihatan terpilih di seluruh negara.
Waktu operasi klinik itu akan dipanjangkan dari jam 5 petang hingga 9.30 malam pada Isnin hingga Jumaat dan jam 8 pagi hingga 12 tengah hari pada Sabtu.
Bagi negeri Kedah, Kelantan dan Johor, waktu operasi pada Ahad hingga Khamis dari jam 5 petang hingga 9.30 malam dan 8 pagi hingga 12 tengah hari pada Sabtu.