Hendak dapat RM50 sehari pun susah

Iklan
Pemandu teksi kini hanya lebih banyak termenung menunggu pelanggan. Gambar Bernama.

APA Khabar Rakyat kali ini menyingkap keluh kesah pemandu teksi di Seremban yang memberitahu hanya mampu memperoleh pendapatan RM60 sehari.

Malah ada ketikanya mereka terpaksa pulang dengan tangan kosong kerana ketiadaan pelanggan.

Iklan
Iklan

Wartawan Sinar Harian, Syamilah Zulkifli cuba menyelami masalah dihadapi mereka yang rata-ratanya merupakan golongan warga emas.

Bukan setakat pendapatan yang diraih selama ini jatuh menjunam, malah ada ketika mereka terpaksa pulang dengan tangan kosong kerana tiada pelanggan.

Iklan

Situasi sukar yang dihadapi oleh kebanyakan pemandu teksi termasuk di daerah ini bermula sejak kewujudan sistem perkhidmatan e-hailing atau Grab.

Malah mereka mendakwa nasib pemandu teksi yang rata-ratanya warga emas itu seolah-olah tergantung dan terpaksa menerima hakikat yang perkhidmatan teksi kian di penghujung usia.

MOHD SHAH

Iklan

Mohd Shah Mahmud, 70, berkata, bekerja sebagai pemandu teksi ketika ini lebih banyak ‘termenung’ kerana kebanyakan pelanggan lebih memilih perkhidmatan e-hailing atau Grab.

"Sudah 30 tahun saya sara keluarga sebagai pemandu teksi, tapi sejak empat tahun ini terasa susahnya nak cari duit.

"Dalam sehari itu nak dapat RM50 pun susah. Tapi saya tiada sumber pendapatan lain, terpaksa teruskan juga bawa teksi walaupun susah... Ada ketikanya saya hanya bawa pulang RM10 saja,” katanya.

Menurut Mohd Shah, tidak tahu sampai bila nasib pemandu teksi ‘hidup tergantung’ kerana sudah beberapa kali isu tersebut disuarakan kepada pihak berwajib.

Oleh sebab itu katanya, dia tidak mahu lagi berharap dan menyerahkan soal rezekinya kepada ALLAH.

BAKRI

Selain itu, Bakri Mohamad, 67, pula berkata, meskipun sukar menjadi pemandu teksi sekarang, namun dia masih setia meneruskan khidmat tersebut kerana ia merupakan punca pendapatan utamanya sejak 15 tahun lalu.

"Boleh dikatakan setiap hari, paling tinggi pendapatan saya boleh dapat ialah RM60 dan keadaan ini sangat dirasai sejak empat tahun lalu.

"Kalau ada, adalah. Kalau tiada, kami pulang dengan tangan kosong,” katanya.

THANGAYA

Nasib A Thangaya, 72, juga tidak jauh berbeza dengan rakan seperjuangannya yang lain apabila terpaksa berebut pelanggan dengan e-hailing atau Grab.

Katanya, pihak berwajib sepatutnya mengambil perhatian sewajarnya terhadap kelompok pemandu teksi yang kebanyakannya adalah warga emas.

"Bila fikir, sedih juga. Tapi apa yang kami boleh buat?” katanya.

BARI

Bari Suriaman, 70, berkata, kebanyakan golongan muda terutama wanita lebih gemarkan perkhidmatan e-hailing berbanding teksi.

Jelasnya, jika berkemampuan, dia berkeinginan membuat e-hailing atau Grab, tetapi tidak layak kerana usia teksi yang sudah lebih 10 tahun.

"Memang kami (teksi) dibenarkan buat dua-dua. Tapi usia kereta dah tua, jadi macam mana pula? Tak akan saya kena tukar kereta baharu?

"Kebiasaan setiap hari setakat jam 3 petang saya hanya dapat RM10. Memang susah nak cari makan sekarang,” katanya.

Tambah Bari, pihak kerajaan sememangnya ada membantu, tetapi bantuan yang mereka harapkan ialah jalan penyelesaian menyeluruh demi kelangsungan hidup pemandu teksi di seluruh negara.

Dua cadangan selesai isu pemandu teksi

Sementara itu, Kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian jangka panjang untuk menamatkan konflik membelenggu perkhidmatan teksi yang dilihat tiada berkesudahan.

OBAMA

Pemandu teksi yang mahu dikenali sebagai Obama, 57, berkata, inisiatif membenarkan teksi mendaftar e-hailing untuk bersaing dengan perkhidmatan seperti Grab dan Uber langsung tidak membantu.

"Kita bukan tuntut pembelaan wang ringgit setiap masa, tetapi mahukan keadilan dari segi peluang untuk menjana sumber pendapatan.

"Macam mana kami nak daftar e-hailing sedangkan usia teksi kebanyakannya sudah lebih 10 tahun. Memang tak layak.

"Kalau betul nak bagi kami bersaing dengan yang lain, longgarkan syarat itu. Jangan diskriminasi kepada pemandu teksi,” katanya.

Ujar lelaki itu, agak sukar untuk pemandu teksi menukar kenderaan baharu kerana ia melibatkan pinjaman bank lebih-lebih lagi ramai dalam kalangan mereka adalah warga emas.

SILVARAJOO

Selain itu, pemandu teksi, S Silvarajoo, 64, mencadangkan kerajaan menetapkan kadar tambang warga asing dan tempatan berbeza.

Tambahnya, ia mungkin boleh sedikit membantu pemandu teksi kerana kebanyakan warga asing masih memilih teksi berbanding e-hailing.

"Apa salahnya kita caj mahal sikit untuk warga asing. Dasar ini mungkin boleh ditetapkan kerajaan.

"Kami bukannya tak boleh terima hakikat perlu bersaing dengan perkhidmatan e-hailing, tapi apalah salahnya jika kerajaan pertimbangkan kaedah terbaik supaya kami boleh terus cari makan,” katanya.