PENYANYI Sufian Suhaimi sekali lagi meraikan kejayaan single Di Matamu, apabila lagu ciptaan Sirkhan dan Rinkarnaen itu diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai muzik video yang memperoleh jumlah tontonan tertinggi bagi kategori lagu Melayu dan artis tempatan di saluran YouTube.
Lagu cinta yang sering dikaitkan dengan kisah putus tunangnya dengan pelakon Elfira Loy itu telah meraih lebih 56 juta jumlah tonton selepas dilancarkan pada 23 Mac 2018, yang juga merupakan tarikh Sufian merancangan untuk berkahwin.
Penyanyi yang mengungguli kategori Persembahan Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-33 menerusi lagu yang sama ini, berkongsi berita gembira tersebut di laman Instagramnya hari ini.
"Alhamdulillah atas pengiktirafan ini. Terima kasih kepada sahabat @sirkhandanial dan @ibnu_rinkarnaen yang berhempas pulas mencipta lagu sedih #DiMatamu yang cukup dekat dengan pendengar muzik Malaysia,” tulisnya pada kapsyen.
Dalam perkongsian yang sama, Sufian juga melihat ia sebagai kejayaan yang tidak disangka, apatah lagi setelah pelbagai ujian yang menimpanya sebelum ini.
"Sesungguhnya Allah itu maha adil. Adil meletakkan kebahagiaan dalam bentuk berbeza dan tak disangka.
"Buat keluarga, sahabat, peminat dan seluruh yang mengenali saya, semoga kebaikan kalian dibalas dengan kebaikan. Terima kasih semua. Terima kasih Allah,” tulis Sufian.
Dalam pada itu, syarikat rakaman Sufian, Aries Music, akan mengadakan sebuah majlis penghargaan untuk meraikan kejayaan itu pada Khamis ini.