KPM tidak kompromi pelanggaran terma laksana sistem idMe, MOEIS

Iklan
Fadhlina ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran terma dan syarat yang telah ditetapkan kepada syarikat pelaksana Sistem Pengurusan Identiti (idMe) dan Sistem Bersepadu KPM (MOEIS).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, KPM menyedari terdapat gangguan capaian pada kedua-dua sistem itu dan mengesan gangguan mula berlaku pada 19 Januari lepas disebabkan isu teknikal dan penggunaan sistem.

Iklan
Iklan

"KPM telah mengenal pasti punca masalah kepada keseluruhan sistem ini dengan mengambil kira pengurusan sistem secara keseluruhan serta kompetensi personel bagi memantapkan lagi pelaksanaan sistem tersebut," katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang ingin tahu sama ada KPM akan melakukan teknikal audit ke atas idMe dan MOEIS yang sering mengalami gangguan teknikal sehingga menyukarkan tugas guru-guru.

Iklan

Fadhlina berkata, KPM akan bekerjasama dengan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU) bagi pelaksanaan audit teknikal dalam sistem itu.

"Hasil audit ini bagi menambah baik sistem sedia ada, serta perancangan sistem KPM yang akan datang. Kita jangkakan audit ini akan dilaksanakan pada suku kedua 2023,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga hari ini, secara keseluruhan 89 peratus sekolah di seluruh negara telah selesai memasukkan data dalam Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu (SPPB) di bawah MOEIS melalui idMe manakala bakinya mempunyai pilihan untuk memasukkan data sama ada melalui SPPB atau secara luar talian.

Menurutnya tiga negeri menggunakan SPPB 100 peratus iaitu Kelantan, Sarawak dan Labuan manakala Perlis mencapai 99 peratus pengisian ke dalam sistem berkenaan.

Fadhlina berkata Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) secara dalam talian melibatkan beberapa modul yang dibangunkan secara berasingan iaitu idMe, MOEIS Modul Institusi, MOEIS Modul Murid dan SPPB.

Katanya, MOEIS dibangunkan secara dalaman manakala idMe dan SPPB dibangunkan secara penyumberluaran kepada dua syarikat berbeza. - Bernama