KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menawarkan hadiah kepada penduduk Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang menjelaskan sewa bulanan secara konsisten tanpa tunggakan.
Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Norhaslinda Nordin berkata, cenderamata dan diskaun sewa sebulan antara insentif yang ditawarkan kepada penyewa yang membayar setiap bulan dari Mei hingga Disember 2019.
Iklan
Iklan
"Sementara diskaun sewa bulanan pula ditawarkan kepada mereka yang melakukan pembayaran pendahuluan selama setahun yang perlu dijelaskan dalam tempoh tiga bulan.
"Tawaran pembayaran setahun bermula Mei 2019 hingga April 2020 atau Jun 2019 hingga Mei 2020 atau Julai 2019 hingga Jun 2020," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Menurutnya, insentif itu tertakluk kepada penyewa yang melakukan pembayaran sendiri.
"Program ini dikecualikan jika sewaan dijelaskan oleh pihak ketiga seperti pemaju, syarikat, Baitulmal dan lain-lain. Penyewa juga perlu memastikan tunggakan sewa dijelaskan terlebih dahulu.
"Kita berharap tawaran ini dimanfaatkan penyewa dengan menjelaskan sewa mengikut masa ditetapkan untuk menikmati insentif ditawarkan," katanya.