IPOH -"Saya sangat seronok mudahkan mereka (pesakit)," itu luahan seorang pengawal keselamatan wanita yang berkhidmat di Hospital Raja Permasuri Bainun (HRPB) di sini selepas menerima ucapan penghargaan daripada Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.
R Yogeswary, 44, tidak menyangka usahanya memudahkan pesakit dan pelawat yang mengunjungi hospital berkenaan mendapat perhatian masyarakat sehingga kepada menteri sendiri.
Jelasnya, penghargaan itu dianggap satu pengiktirafan besar sejak lebih empat tahun berkhidmat di hospital berkenaan.
"Kompleks ini untuk orang bersalin jadi saya seorang wanita faham, selain itu warga emas juga susah nak parkir. Kebanyakan orang awam perlukan bantuan hanya untuk satu parkir sahaja. Saya cuma mudahkan mereka," katanya kepada pemberita ketika ditemui di hadapan Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi HRPB pada Khamis.
Yogeswary berkata, apa yang dilakukannya itu bukanlah bertujuan mendapatkan pujian sebaliknya memudahkan pesakit mendapatkan perkhidmatan di kompleks berkenaan.
Dia turut berterima kasih kepada majikannya serta pihak pengurusan hospital yang memberi kepercayaan kepadanya melaksanakan tugas tersebut.
Kisah mengenai Yogeswary itu tular di media sosial sehingga mendapat perhatian Dr Zaliha yang memuji tindakan wanita itu membantu pesakit dan memberikan penghargaan menerusi hantaran di facebook menteri berkenaan.