SPRM sedia siasat jika berlaku elemen rasuah

Iklan
Azam berbual dengan pegawai SPRM selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM (Penolong Penguasa P29) di pekarangan Kompleks SPRM Johor hari ini. - Foto Bernama

JOHOR BAHRU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia menjalankan siasatan ke atas mana-mana pihak termasuk parti politik asalkan aduan yang diterima menunjukkan berlakunya elemen rasuah dan salah guna kuasa.

Menurut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, secara prinsipnya, pihak SPRM perlu memastikan wujud elemen rasuah sebelum melaksanakan apa-apa tindakan.

Iklan
Iklan

"Sekiranya nak jalankan siasatan ke atas mana-mana pihak, pertamanya sekiranya aduan itu tunjukkan kesalahan rasuah itu berlaku atau tidak.

"Tak kisahlah daripada parti mana pun...kerana yang penting, kita kena siasat dan yang pentingnya adakah parti itu melakukan kesalahan rasuah," katanya pada sidang media sempena Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM di Kompleks SPRM Negeri Johor, Tampoi di sini pada Khamis.

Iklan

Azam berkata ketika mengulas mengenai isu Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencabar pihak SPRM untuk menyiasat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Azam menjelaskan, pihaknya juga sentiasa menunggu aduan dan maklumat sebelum melaksanakan apa-apa tindakan.

Iklan

"Jika mengikut akta kami, jika parti A menerima apa-apa sumbangan tetapi pemberian itu daripada pihak yang ada kepentingan dengan kerajaan pada ketika itu, maka ia diklasifikasikan sebagai satu kesalahan rasuah dan perlu disiasat oleh SPRM," katanya.

Sementara itu, dalam majlis perbarisan tamat latihan kursus berkenaan, seramai 59 kadet SPRM telah mengikuti kursus asas berkenaan yang berlangsung selama sembilan bulan dan melibatkan dua fasa itu.