Kerajaan tumpu perkasa sektor pendidikan, kesihatan - PM

Iklan
Anwar ketika menghadiri Majlis Pelancaran Operasi Laluan Penuh MRT Putrajaya Laluan Putrajaya, hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kerajaan menumpukan kepada bidang yang dianggap terdesak dan perlu untuk diperkasakan pada tahun ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, menerusi Belanjawan 2023, tumpuan penting adalah kepada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan.

Iklan
Iklan

"Jadi untuk tahun ini kita nak ambil langkah yang sangat tegas dan berani, belanja yang jauh lebih tinggi untuk selesaikan masalah asas prasarana sekolah daif, tandas, kelengkapan sekolah dan juga aspek kesihatan serta perubatan.

"Sebab itu kita lihat peruntukan mendadak bagi Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan pada Belanjawan 2023, bukan kementerian lain tidak penting, cuma kita tumpukan pada bidang yang dianggap terdesak dan perlu,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika Majlis Pelancaran Transit Aliran Massa (MRT) Fasa Dua Laluan Putrajaya di Depoh MRT Serdang, hari ini, yang turut dihadiri Menteri,Anthony Loke; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Belanjawan 2023 yang dibentangkan Anwar pada 24 Februari lepas, menyaksikan Kementerian Pendidikan menerima peruntukan tertinggi sebanyak RM55.2 bilion, manakala Kementerian Kesihatan pula menerima peruntukan kedua terbanyak berjumlah RM36.3 bilion.

Iklan

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga pada masa sama akan memastikan, keperluan serta kepentingan kementerian lain tidak akan dipinggirkan dan turut akan diambil kira.

"Jika Menteri Pengangkutan (Anthony Loke) ada keperluan lain, kita teliti. Jika selepas ini dalam sebulan dua ini negara akan sambut pelancong, jadi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya juga penting, dan semestinya kemasukan pelancong akan libatkan soal Imigresen dalam skop Kementerian Dalam Negeri," katanya.

Anwar berkata, soal tadbir urus yang baik akan terus ditekankan dalam memastikan tiada ketirisan berlaku dalam sebarang perbelanjaan, di bawah kerajaan pimpinannya.

"Saya tekankan kerana ia perlu, dalam aspek ini, bukan orang politik sahaja, penjawat awam, syarikat kerajaan, pengurusan juga harus dipantau lebih teliti.

"Saya tekankan kerana ia dah jadi parah di semua peringkat. Kalau kita dapat jimat, manfaatnya kepada rakyat," katanya. - Bernama