KUALA LUMPUR - Program Pendedahan Sukarela Khas (SVDP) 2.0 Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bermula 1 Jun 2023 hingga 31 Mei 2024 turut menyasarkan ‘Tiktokers’ dan pempengaruh sebagai antara individu pembayar cukai.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Dr Mohd Nizom Sairi berkata, SVDP 2.0 ini adalah peluang terbaik kepada ‘Tiktokers’ dan pempengaruh untuk tampil melaporkan pendapatan mereka.
"Kami sebenarnya telah ada inisiatif khas untuk kategori pempengaruh, kami ada jumpa dan buat penglibatan dengan mereka untuk memahami dan mendapat maklum balas tentang bagaimanakah bentuk pendapatan yang mereka terima.
"Kita memberikan perkhidmatan nasihat, mendidik, dan memberi kesedaran kepada mereka ini untuk tampil kehadapan dan memberitahu cara untuk melaporkan pendapatan dalam sektor sebegini.
"Oleh kerana, mereka adalah dalam persekitaran awam, sebagai satu peringatan dan bukanlah amaran bahawa LHDN nampak apa yang berlaku, jadi datanglah kehadapan. Ini ada peluang terbaik dalam SVDP ini dan kita mulakan satu titik yang baik bersama,” katanya kepada pemberita selepas panel diskusi progam Deloitte TaxMax - The 48th series di sini hari ini.
Beliau berkata sejak tahun lepas, pihaknya turut mendaftarkan individu berumur 18 tahun ke atas menggunakan inisiatif Tax Indentification Number (TIN) bagi membandingkan ‘Tiktokers’ dan pempengaruh dengan data pembayar cukai sedia ada.
"Mereka yang berumur lebih 18 tahun memang tergolong atau mempunyai TIN, ada dalam pengkalan data LHDN, bila kita buat program ini kita membandingkan pembayar cukai sedia ada, kita ada kumpulan B40 yang dalam pengkalan data penerima bantuan kerajaan,” katanya.
Mohd Nizom berkata, program SVDP kali ini memfokuskan kepada individu atau perniagaan yang belum pernah berdaftar sebagai pembayar cukai.
SVDP 2.0 menyasarkan 50,000 pembayar cukai dengan anggaran kutipan berjumlah RM1 bilion dan tiada penalti dikenakan kepada mereka seperti sebelum ini iaitu antara 10 dan 15 peratus pada Belanjawan 2019.
"Sebagai contoh mereka yang memulakan perniagaan tiga atau empat tahun lepas, mungkin di peringkat awal itu pendapatan mereka kecil dan tidak memberikan perhatian kepada unsur percukaian dan apabila sekarang pendapatan sudah besar, kita selalu dengar mereka takut dan tidak tahu bagaimana untuk memulakan kerana mereka sudah tertinggal beberapa tahun.
"Jadi kita memfokus kepada kumpulan ini tanpa menutup kepada pembayar cukai sedia ada sekiranya mereka atas apa sebab pun tertinggal atau terkurang lapor atau terlebih tuntut perbelanjaan dalam tempoh ini,” katanya. - Bernama